Jumaat, 7 Disember 2012

Politik Samseng: Tindakan akan diambil jika pemimpin BN terlibat, kata Kamalanathan


Menurut Kamalanathan, tindakan akan diambil jika pemimpin BN terlibat dengan politik samseng. — Gambar oleh Anne Muhammad
 
SHAH ALAM— Ahli Parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan mengatakan jika terdapat pemimpin Barisan Nasional (BN) terlibat dengan politik samseng, kepimpinan tertinggi gabungan tersebut tidak teragak-agak untuk melucutkan jawatan pemimpin terbabit. 
 
"Jika ada calon bersalah dan terlibat dalam politik samseng, kita sentiasa terbuka jika polis mengambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah.

"Apa yang saya boleh katakan di sini, saya sebagai wakil rakyat akan sentiasa membuat perubahan kepada diri saya sendiri.

Apa yang saya boleh ubah, saya akan cuba berubah menjadi pemimpin yang baik," kata beliau dalam Wacana Sinar Harian, "Politik Samseng Dimana Maruah Kita", disini hari ini.

Pemimpin MIC itu yakin ahli politik di negara ini mempunyai etika mereka tersendiri.

"Saya yakin ahli politik di negara ini mempunyai etika, jika tidak, mereka tidak akan kekal lama sebagai ahli politik atau pemimpin parti, jadi untuk memudahkan perjalanan, kita ikut sajalah undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Pada 4 Disember lalu, pergaduhan berlaku diantara penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) di Gombak sehingga menyebabkan penyokong kepada kedua-dua kumpulan tersebut cedera parah.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali ketika ditemui selepas kejadian keganasan tersebut mengecam Ketua Pemuda Umno Gombak Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang dikatakan mengetuai sekumpulan samseng menyerang ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi.

Pergaduhan bermula kira-kira jam 10 malam semasa ahli parlimen Gombak tersebut memulakan ucapannya yang menyaksikan batu dan kayu dibaling ke arah orang ramai di Dataran Sharuddin, Batu 8 ½.

"Saya sangat kesal dengan sikap biadap Umno ini, malahan ada juga yang cedera akibat sikap samseng ini," kata Azmin ketika ditemui The Malaysian Insider selepas ketegangan diantara penyokong Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) pada malam tersebut.

Pemuda Umno walaubagaimanapun menafikan terlibat menyerang ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak, dan mendakwa hanya berdemonstrasi aman di hadapan bilik gerakannya.

Menurut Megat, demonstrasi aman berlangsung di hadapan bilik gerakan Umno Gombak Batu 8 ½ itu kemudian bertukar ganas apabila sebahagian dari penyokong Pakatan Rakyat (PR) bertindak membaling objek seperti batu-bata, kuali dan tong air ke arah pemuda Umno.

"Kami hanya buat demonstrasi aman di depan bilik gerakan kami, tetapi mereka membaling tong air, kuali, batu-bata sehingga seorang pemuda Umno kena sembilan jahitan akibat terkena batu-bata," kata Megat yang dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Beliau menegaskan bahawa mereka tidak memulakan pergaduhan sepertimana didakwa oleh pembangkang.
"Pembangkang biasalah, dia punya cerita... saya ingin menjelaskan tidak ada pun seperti yang dituduh oleh pembangkang.

"Yang kami tak faham, kenapa mereka nak buat ceramah depan pusat kami?" tanya Megat.

Tiada ulasan: