Sabtu, 8 Disember 2012

Politik samseng: MoU tak perlu, kata SPR

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Politik samseng: Jangan gadai maruah kita
Tajuk muka depan edisi Sinar Harian hari ini.
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan peraturan dan perundangan sedia ada sudah memadai bagi membanteras gejala politik samseng sekiranya pemimpin politik dan penyokong mereka sedia mengikut garis panduan yang sudah ditetapkan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, malang sekali apabila kedua-dua parti sama ada pemerintah mahupun pembangkang tergamak melanggar peraturan dalam usaha mahu memenangkan parti masing-masing.

"Kalau mereka ini mengikut undang-undang dalam akta kesalahan pilihan raya, dalam akta jenayah, ikut nasihat polis, ikut nasihat SPR, aman damailah pilihan raya kita tetapi keadaan itu tidak berlaku," ujar beliau kepada Sinar Harian Online.

Menurut Aziz lagi, memang tidak ada dalam mana-mana perundangan yang membenarkan memorandum persefahaman (MoU) dicapai bagi mengelakkan budaya politik samseng dalam tempoh penting pilihan raya.

Lagi pula katanya, kes-kes yang membabitkan gejala samseng ini terletak di bawah bidang kuasa pihak polis.

"Pertama sekali perkara itu tidak ada dalam undang-undang dan ia berkaitan dengan jenayah, jadi ia di bawah kawalan polis," katanya.

Aziz diminta mengulas pandangan Ahli Parlimen dari BN yang mencadangkan satu memorandum persefahaman (MoU) di antara calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan pihak SPR supaya budaya politik samseng ini dapat dielakkan.

Bercakap dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-16 kelmarin, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan berkata, dengan adanya MoU ini diharapkan calon-calon dan penyokong parti-parti politik yang bertanding boleh mengikuti tatacara dan undang-undang semasa PRU13.

“Jika ada calon bersalah dan terlibat dalam politik samseng, kita sentiasa terbuka jika polis mengambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah,” katanya.

Menurut Aziz, budaya politik samseng terutama sekitar hari-hari penting proses pilihan raya sebenarnya dapat dielakkan sekiranya pemimpin parti memainkan peranan masing-masing.

Bagaimanapun, keadaan sebaliknya pula berlaku dan menjadi lebih parah apabila pemimpin parti sendiri yang gagal mengawal diri mereka ketika musim pilihan raya.

"Pemimpin-pemimpin parti politik ini kadang-kadang terlalu emosional sampai rupa pun macam orang yang tak sedar diri. Di antara sedar dengan tidak sedar. Lupa apa yang dia cakap, lupa apa yang dibuat," ujar beliau.

"Kekasaran-kekasaran daripada perbuatan, dari segi perkataan, kadangkala pergaduhan, baling batu, baling botol, balik kayu, bertumbuk, berlawan, ini semua masing-masing hendak menunjukkan kekuatan. Penyokong-penyokong parti ini sudah diasuh seperti itu," kata Aziz.

Malahan katanya, umpama sudah menjadi trend apabila parti politik membawa barisan peguam untuk mencabar tindak-tanduk SPR jika bertentangan dengan kehendak mereka di hari penamaan calon dan pengundian.

"Dulu kalau kita kata jangan buat seperti ini, semua akan ikut sahaja tapi bukan sekarang. Sekarang ini ramai peguam-peguam akan tanya kita, di bawah peruntukan mana, di bawah undang-undang mana?

"Maknanya masing-masing tidak menghormati undang-undang, tidak menghormati nasihat polis, nasihat SPR, sentiasa suka mencabar, melawan, sebab itulah jadinya begitu," jelas Aziz lagi.

Tiada ulasan: