Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, memandangkan pihak-pihak yang terlibat dalam politik sudah tidak menghormati undang-undang yang ada sekarang, maka memang sukar untuk merealisasikan idea MoU, yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dari Barisan Nasional.
"Undang-undang yang ada sekarang ini pun mereka langgar.
"Anehnya pemimpin yang timbulkan keganasan itu adalah mereka yang bercakap nak wujud masyarakat madani, bercakap soal ketamadunan, perkara yang sedap dan manis didengar tetapi mereka yang bercakap itu sendiri yang melanggar.
"Sebab emosi dah menguasai dirinya kerana mengejar kedudukan, pangkat dan kuasa," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas berkata, keghairahan parti-parti politik untuk mengejar kuasa dan pangkat antara punca politik samseng sentiasa subur malah menjadi budaya di negara ini.
Beliau berkata, apabila keghairahan ini gagal dibendung perasaan diri, ia menyumbang kepada provokasi.
"Apabila berlaku provokasi, pasti akan berlakunya pergaduhan, inilah yang dikatakan dengan politik samseng," katanya.
Mengulas lanjut, beliau melahirkan kebimbangan apabila keganasan yang wujud akibat ketaksuban membuta tuli kepada parti politik masing-masing dilihat sebagai budaya baru dalam masyarakat kita pada hari ini.
Beliau berkata, sekiranya budaya songsang ini tidak dibendung segera, dikhuatiri akan memudaratkan keselamatan negara dan mengancam kesejahteraan rakyat.
Tambah beliau, pihak berkuasa khususnya polis tidak berupaya membendung dan memastikan insiden ini tidak berlaku pada masa akan datang sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada parti-parti politik untuk mengawal ahli dan penyokong mereka daripada bertindak di luar batasan.
"Jika polis bertindak tegas, polis pula akan dituduh macam-macam," katanya.
Dalam pada itu katanya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum dimansuhkan menjadi satu instrumen pencegahan politik samseng daripada menular.
"ISA adalah salah satu undang-undang yang secara psikologinya boleh membendung orang-orang politik daripada bertindak ganas.
"Apabila ISA tiada, maka polis tidak ada mekanisme yang berkesan dari segi pencegahan," katanya.
Tegasnya, penyokong parti politik juga sejak akhir-akhir ini tidak takut untuk didakwa di mahkamah kerana bukan mudah pihak polis dan pendakwaan untuk mengemukakan bukti kesalahan mereka.
"Sudah ada pihak yang tidak takut dengan undang-undang, sudah tidak takut lagi untuk melakukan keganasan, mungkin mereka tengok undang-undang yang ada pun kalau mereka didapati bersalah denda itu tidak menjadi halangan bagi mereka," jelasnya.
Insiden berdarah dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat Pakatan Rakyat di Gombak Selasa lalu katanya, adalah contoh terdekat yang boleh dikaitkan dengan politik ganas.
"Pihak Pakatan Rakyat tuduh Pemuda Umno kacau dan pihak Pemuda Umno pula tuduh pihak PKR buat provokasi.
"Jadi kita tak tahu siapa yang benar, yang eloknya polis kurung, balun dua-dua," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan