Ahad, 9 Disember 2012

Polis Pulau Pinang: Dakwaan wanita Indonesia dirogol fitnah

SINAR HARIAN

BUKIT MERTAJAM - Polis Pulau Pinang hari ini menyanggah laporan seorang wanita Indonesia yang mendakwa dirogol dua anggota polis di Taman Limau Manis, Bukit Tengah, semalam.
  
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pemeriksaan perubatan dan siasatan awal mendapati wanita berusia 26 tahun itu bukan sahaja tidak dirogol dan dipukul, bahkan tiada anggota polis yang digambarkannya bertugas pada waktu kejadian.
  
"Saya menafikan kejadian itu dan ini adalah satu tohmahan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama kepada anggota saya di Pulau Pinang," katanya kepada Bernama, di sini.
  
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang antara lain  menyatakan seorang wanita Indonesia mendakwa dirogol dan dipukul dua anggota polis peronda dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu.
  
Wanita itu mendakwa teksi yang dinaikinya ditahan sebuah kereta peronda polis dan dia ditahan kerana hanya membawa salinan pasport. Dakwanya lagi, dia turut dipukul sehingga pengsan selama dua jam.
 
Dia kemudian membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta di Bayan lepas dan memaklumkan dirogol serta dipukul kepada doktor di klinik tersebut sebelum kesnya dirujuk kepada polis.
  
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata siasatan lanjut terhadap wanita berkenaan juga mendapati banyak keraguan dalam keterangannya.
  
"Semalam kita bawa dia ke tempat-tempat yang didakwanya berlaku kejadian terbabit  dan mendapati beberapa dakwaan dia menimbulkan keraguan dan tidak sama dengan dakwaan awal.
  
"Wanita itu juga memberi keterangan yang meragukan termasuklah lokasi dia dirogol kerana lokasi berkenaan didapati berada di kawasan tumpuan orang ramai dan kawasan itu juga  dikawal oleh pasukan Skim Rondaan Sukarela sepanjang masa," katanya.
  
Selain itu katanya, polis turut membuat pemeriksaan terhadap anggota peronda polis yang bertugas pada waktu kejadian dan mendapati tiada yang menepati gambaran yang diberi wanita tersebut selain dia juga gagal mengenal pasti siapa yang merogolnya.

Menurut Abdul Rahim, hasil siasatan juga mendapati wanita itu bekerja sebagai pelayan pelanggan di sebuah premis hiburan di Seberang Jaya, bukan pekerja kilang seperti yang didakwa.
  
"Setakat ini kita dapati wanita berkenaan sengaja mereka-reka cerita kononnya dia dirogol oleh dua anggota polis, bagaimanapun polis tetap menjalankan siasatan dari pelbagai aspek.
  
"Polis juga tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan terhadap wanita itu  jika dia didapati sengaja mereka cerita dan membuat tohmahan kepada polis," katanya - Bernama

Tiada ulasan: