Ahad, 9 Disember 2012

Kos asrama: Siswa KUIS berdemo di rumah ADUN



Sekumpulan mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) hari ini berhimpun di hadapan kediaman seorang wakil rakyat Selangor yang didakwa mendapat kontrak menguruskan asrama kolej mereka.

Dalam memorandum mereka, siswa berkenaan menuntut ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak supaya membatalkan kontrak menguruskan asrama tersebut – yang didakwa menyebabkan pelajar menanggung kos "tidak adil dan tidak munasabah".

Siswa berkenaan juga menuntut Sulaiman menandatangani kontrak baru dengan kadar sewa asrama yang lebih rendah berbanding kadar sedia ada.

Seramai 20 siswa berkenaan yang menggelarkan diri mereka sebagai Demi Mahasiswa KUIS (DMK) turut meninggalkan memorandum mereka di peti surat kediaman ADUN terbabit.

Kumpulan siswa berhimpun selama hampir setengah jam di hadapan kediaman tersebut di Shah Alam.

Presiden DMK, Azrul Tahir sewaktu bercakap kepada wartawan mendakwa purata sewa seunit asrama KUIS terlalu tinggi dibandingkan dengan sewa pangsapuri lain yang memuatkan jumlah penghuni hampir sama.

Beliau memberi contoh kolej kediaman jenis A, dengan jumlah penghuni enam orang yang mengenakan sewa RM1,980 sebulan berbanding Pangsapuri Vista yang terletak berdekatan dengan sewa sebanyak RM500 sahaja.

"Kami minta pada YB Sulaiman Razak batal kontrak ini dan dan buat kontrak baru yang lebih adil dan munasabah," katanya sewaktu bercakap kepada wartawan.

Siswa berkenaan tampil di hadapan kediaman ADUN berkenaan susulan saranan pengarah strategi PKR Rafizi Ramli pada Mei lalu agar pelajar memberi tekanan politik agar kenaikan yuran itu dibatalkan.

Rafizi Ramli berkata, tindakan itu bersesuaian kerana pemilik syarikat pengurus asrama berkenaan merupakan seorang ahli politik yang "faham bahasa politik".

Tiada ulasan: