Selasa, 11 Disember 2012

Kes Scorpene: Kalau tak bersalah, mengapa Najib takut?

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR - Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua persoal mengapa kerajaan Najib Razak menghalang peguam Perancis memberi taklimat di Malaysia, jika tiada penyelewengan.

Beliau mengulas kenyataan NGO pro Umno, Jaringan Melayu Malaysia dan media kawalan BN yang memetik kenyataan Ahli Parlimen Batu itu di Parlimen, 21 November lalu.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah dilapor berkata, Tian berbohong mengenai kes berkenaan apabila memberitahu Parlimen bahawa tiada perbicaraan di Perancis.

Tian berkata, Azwanddin dan media seperti TV3 cuba mengelirukan orang ramai berhubung sistem perbicaraan di Mahkamah Perancis.

“Dari awal memang kita sebut tiada perbicaraan, tetapi harus ingat sistem mahkamah Perancis berbeza dengan Malaysia.

“Dalam kes ini yang menyiasat ialah Hakim Perancis dan beliau mendapati ada bukti kukuh berlaku penyelewengan (Scorpene).

“Hakim juga sedang melakukan inkuiri dengan menyenarai tujuh individu termasuk Najib. Persoalannya kalau Najib tidak bersalah, mengapa beliau takut walaupun sekadar memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Tian menasihatkan JMM berhenti mengelirukan rakyat dan mencabar Najib hadir ke Mahkamah Perancis bagi membersihkan imejnya, apabila dipanggil kelak.

Tiada ulasan: