Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR: Penelitian Mahkamah Perancis berhubung kes
pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu dan perkaitannya dengan
rasuah pembelian kapal selam Scorpene sangat dinantikan rakyat, kata
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
Katanya, ini kerana media kawalan Umno BN mengelirukan rakyat
berhubung skandal itu dan mahkamah Malaysia menutup kedua-dua kes
tersebut.
“Kita mengalu-alukan dan ia tentunya sangat menarik untuk
diperhatikan kerana media kawalan Umno BN selama ini enggan menyiar
fakta sebenar pembunuhan Altantuya serta mengalih pandangan rakyat konon
Azilah Hadri dan Sirul Azhar bersalah.
“Sedangkan kedua-dua polis itu hanya kambing hitam untuk menyelamatkan penjenayah sebenar,” katanya ketika dihubungi.
Ahli Parlimen Batu itu kesal apabila kerajaan melambat-lambatkan perbicaraan serta menghalang peguam Perancis
memberi taklimat mengenainya di negara ini.
“Semua
tindakan ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib
Razak menyembunyikan sesuatu di sebalik pembunuhan Altantuya dan
skandal komisen Scorpene melibatkan beliau dan kroninya,” kata Tian.
27 November lalu, Apoline Cagnat, yang bekerja di firma Wiliam
Bourdan mendedahkan, hakim siasatan Mahkamah Perancis sedang meneliti
rekod pembunuhan Altantuya yang diletup mengguna bahan letupan C4 pada
2006 bagi merungkai kes Scorpene.
Apoline berkata, Hakim Siasatan Perancis pasti tidak akan
meninggalkan bahagian sepenting itu kerana ia mungkin kunci kepada kes
Scorpene di Malaysia.
Beliau berkata demikian kepada sekumpulan Ahli Parlimen Malaysia dari
Pakatan Rakyat dan pengamal media di Singapura ekoran keengganan
Speaker Dewan Rakyat membenarkan taklimat itu di Malaysia tanpa sebarang
alasan.
Selepas Altantuya dibunuh, dua pegawai pengiring Najib iaitu
Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar ditahan dan dijatuhi
hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.
Namun, rakan karib Najib, Abdul Razak Baginda yang turut ditahan,
terlepas hukuman dan dibebas tanpa dipanggil membela diri, sebelum
meninggalkan Malaysia untuk ke United Kingdom.
Razak Baginda adalah pemilik Perimekar Sdn Bhd yang didedah menerima
komisen RM570 juta dalam urus niaga pembelian Scorpene dengan bantuan
Altantuya. Najib, ketika itu Menteri Pertahanan, melulus pembelian kapal
selam itu.
Badan hak asasi, Suara Rakya Malaysia (Suaram) kemudian membuat aduan
di Paris, Perancis terhadap DCNS, syarikat pembuat kapal selam itu dan
ia diterima untuk perbicaraan.
Antara pendedahan menggemparkan dalam kes ini ialah kewujudan ‘orang
ketiga’ selain Altantuya dan Razak Baginda yang terbang ke Malta untuk
urusan pembelian dan ‘komisen’ Scorpene.
Siasatan mendapati Gifen – sebuah subsyarikat kepada DCNS berpangkalan di Malta, berperanan sebagai pembuat bayaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan