SHAH ALAM - Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas tanpa
membebaskan ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail daripada
tuduhan menipu seorang wanita untuk membekalkan dua pembantu rumah
dengan bayaran RM13,000 pada Julai tahun lepas.
Majistret Nurul Syahida Zainal memutuskan sedemikian selepas
Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi memaklumkan bahawa beliau
mendapat arahan untuk menarik balik pertuduhan terhadap Shamsubahrin,
46.
Ahli perniagaan itu didakwa memperdaya Aina Noridar Abdullah, 45, bahawa pembantu-pembantu rumah yang dijanjikan itu benar-benar wujud sehingga menyebabkan wanita itu kerugian RM13,000 yang telah dimasukkan ke dalam akaunnya.
Shamsubahrin didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Persiaran Perbandaran Seksyen 14 di sini, pada 28 Julai 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ini merupakan kali kedua beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan tipu.
Pada 12 April lepas, beliau dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah
Majistret Klang daripada tuduhan menipu seorang pemandu teksi selepas
pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan ke atasnya.
Shamsubahrin turut menghadapi dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu menipu pengarah syarikat National Feedlot Corporation Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail, membabitkan jumlah RM1.755 juta.
Kes itu akan disebut semula pada 21 Mei ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment