Thursday, May 31, 2012

SKM bersalah biarkan Isa jadi ahli KPF - Mazlan


Hazayani Zakaria,
 
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berpendirian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersalah kerana membiarkan Koperasì Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) menerima keahlian Tan Sri Isa Samad.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, SKM harus bertanggungjawab dalam perkara ini sehingga Isa boleh dilantik sebagai pengerusi KPF.

Beliau yakin SKM menerima tekanan politik daripada 'orang-orang' Isa yang memaksa badan itu membiarkan KPF membuat keputusan tersebut walaupun tahu ia bercanggah dengan undang-undang kecil KPF.

"Saya tetap menyalahkan SKM dalam kes keahlian Isa ini kerana melihat kronologi, penjelasan SKM dalam pertemuan kedua dengan Anak, SKM mengakui Isa belum disahkan sebagai pengerusi KPF.

"Tapi bila Anak minta SKM tubuhkan tribunal untuk siasat kes ini, sampai sekarang SKM gagal berbuat demikian," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

SKM semalam memutuskan tindakan KPF menerima keahlian Isa bercanggah dengan undang-undang kecilnya.

Namun, tiada peruntukan dalam peraturan itu yang membolehkan keanggotaan yang telah diterima oleh lembaga pengarah KPF dibatalkan.

Sehubungan itu Mazlan memberitahu, satu semakan kehakiman akan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuantan berhubung perkara ini.

"Anak tak akan biar perkara ini berlalu begitu sahaja. Lagipun maklumat yang kita terima, masih ada usaha untuk melupuskan ekuiti KPF untuk dimasukkan ke dalam Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH).

"Sebab itu Isa dan orang-orangnya perlu ada di situ kerana beliau orang yang sangat mahu FGVh disenaraikan ke Bursa malaysia," katanya.

Selain itu katanya, terdapat juga usaha merombak pengurusan tertinggi Felda dengan menggantikan kanan yang sedia ada dengan pegawai kanan yang pro Isa.

GSF tetap tolak penyenaraian FGVH

Sementara itu, Mazlan yang juga Penyelaras Gerakan Selamatkan Felda (GSF) berkata, walaupun

Gerakan Selamatkan Felda (GSF) tetap berpendirian penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) tidak menguntungkan peneroka dan akan terus memberi penerangan kepada peneroka.

Mazlan aliman berkata, walaupun FGVH melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) hari ini, GSF tetap berpendirian penyenaraiannya tidak menguntungkan peneroka.

"GSF akan teruskan kempen dan memberikan penerangan kepada peneroka demi kepentingan mereka dan memastikan tanah merka tidak tergadai selepas penyenaraian ini," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan prospektus tersebut di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, dekat sini hari ini.

No comments: