Majlis
Peguam mempertimbangkan untuk mewakili peserta perhimpunan BERSIH 3.0
untuk mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan keganasan yang
dilakukan ke atas mereka.
Presidennya Lim Chee Wee tidak memperincikan bila tindakan itu akan
diambil namun menegaskan bahawa ia akan dibuat secepat mungkin selepas
Majlis Peguam menyiapkan laporan pemerhatiannya dalam isu keganasan ke
atas peserta berkenaan.
"Saya
perlu merujuk ahli (Majlis Peguam dahulu), kumpulkan ahli secukupnya
untuk menemubual semua mangsa pencabulan hak asasi manusia, memohon
inkuiri Suhakam dan mungkin mengambil tindakan undang-undang," katanya.
Menurutnya, tindakan undang-undang itu adalah sebahagian daripada tiga
pilihan yang akan diambil Majlis Peguam berkenaan isu keganasan terhadap
peserta BERSIH 3.0
"Kami tentunya mahu berbincang dengan polis dan sampaikan perkara yang
pemerhati kami lihat dan rasa berlaku pada hari itu," kata Lim.
Lim menegaskan bahawa dakwaan keganasan yang dilakukan polis itu
membuktikan bahawa kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan
Salahlaku Polis (IPCMC).
Tahanan dinafikan peguam
Menurutnya, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak langkah itu
perlu dilakukan sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk melakukan
transformasi.
"Najib mungkin berniat mahu mentransformasikan negara tetapi institusi (kepolisan) tidak sehaluan dengan niat beliau," katanya.
Dalam
sidang media sama, seorang lagi ahli jawatankuasa Majlis Peguam,
Syahredzan Johan berkata polis menafikan akses peguam kepada tahanan
BERSIH yang ditempatkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) pada 28 April
lalu.
"Sehingga semua mereka dibebaskan pada jam 5 pagi, kami (peguam) tidak
dibenarkan menemui mereka," katanya yang sampai ke PULAPOL semenjak jam
5.40 petang lagi.
Beliau juga mendakwa ketua polis negara "berbohong" apabila menyatakan bahawa peguam bebas untuk bertemu tahanan pada hari itu.
"Ini bertentangan dengan Seksyen 28(a) Kanun Keseksaan dan juga Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
"Ia amat ironis apabila polis mengingatkan peserta BERSIH agar mematuhi
undang-undang namun apabila tiba giliran mereka, ia diabaikan tanpa
sebarang rasa bersalah," katanya.
No comments:
Post a Comment