Wednesday, May 2, 2012

Kerajaan masih permain pekerja bawahan

Dr Ghazali Hasbullah,   
 

Lajnah Pekerja dan Perofesional Muda, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan selamat menyambut Hari Pekerja bagi komuniti pekerja seluruh negara.

Lajnah ini sangat berbangga dengan usaha dan kegigihan yang ditunjukkan oleh golongan pekerja untuk sama-sama kita majukan negara yang kita cintai ini. Tanpa adanya sumbangan dan komitmen golongan pekerja, struktur masyarakat akan runtuh dan pembangunan negara ini sudah pasti akan tergendala.

Kami sangat prihatin dengan bebanan inflasi dan kenaikan harga barangan yang dihadapi oleh khususnya pekerja bawahan di bawah pemerintahan Barisan Nasional yang korup ini.

Dalam menghadapi bebanan ini, kerajaan masih lagi mempermain-mainkan golongan pekerja.  Perdana Menteri mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula RM800 atau RM3.85 sejam. Ini adalah sangat rendah dan tidak wajar. Apa yang rakyat marhaen boleh dapat dengan RM800 sebulan? Sewa rumah di Sabah dan Sarawak sudah mencecah lebih RM500. Belanja api, elektrik, telefon, persekolahan anak dan belanja dapur sudah pasti melebihi RM500.

Dalam keadaan biasa, pendapatan bulanan rakyat marhaen tidak mencukupi untuk perbelanjaan hidup mereka sekeluarga. Dengan pendapatan kurang dari RM1000 setiap bulan, mereka terpaksa berhutang hanya untuk keperluan asasi bulanan. Ini belum termasuk bayaran bulanan kenderaan dan rumah kediaman. Bagaimana pula sekiranya mereka mendapat kecemasan atau sakit?

Di bawah kerajaan Barisan Nasional, golongan kaya semakin kaya menjadikan suasana masyarakat yang tidak stabil. Kerajaan juga berbohong dengan mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam peringkat bawahan sebanyak 13% manakala bagi kakitangan utama dan turus kenaikannya adalah 7-9%.

Adapun yang sebenarnya adalah, selepas sekali sahaja kenaikan 9%, kakitangan bawahan cuma mendapat kenaikan tahuan antara RM 80-320 sahaja. Tetapi golongan atasan, setelah menerima kenaikan 9% tersebut, gaji mereka setiap tahun akan naik sebanyak 9% lagi daripada gaji pokok tahun tersebut. Ini menjadikan kenaikan sebenar kakitangan pengurusan tertinggi sektor awam adalah 14-18% pada tahun ini sahaja dengan kenaikan 7-9% setiap tahun.

Kerajaan masih lagi mengamalkan budaya membazir, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka mengharapkan rakyat yang sudah miskin supaya berjimat cermat, tetapi mereka berterus-terusan dalam keadaan mewah, menggunakan peruntukan negara untuk kepentingan pribadi dan melupus kira pinjaman kroni.

Kita mengajak golongan pekerja sekalian supaya memilih PAS dan Pakatan Rakyat untuk memerintah Negara supaya agenda Negara Berkebajikan kita dapat dilangsungkan sesuai dengan kehendak Islam supaya harta Negara tidak boleh berlegar dikalangan golongan tertentu sahaja.

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan).

(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).” (Al Hasyr: 7)

Negara Berkebajikan Pilihan Kita.

Dr Ghazali ialah Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia.

No comments: