Wednesday, May 2, 2012

KAMI anjur konvensyen akses media PRU-13

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) akan mengadakan Konvensyen Mengenai Akses Media Dalam PRU ke-13 pada 12 Mei ini di Nouvelle Hotel, Seri Kembangan.

Ketua Sekretariat KAMI, Hayatul Kamil Termudi berkata, konvensyen tersebut bersempena Hari Kebebasan Media Sedunia yang disambut pada 3 Mei setiap tahun.

Ia juga sebagai langkah awal untuk menghimpun pengamal media independen atau yang bekerja dengan badan-badan media cetak atau siaran.

Bertemakan memartabat Malaysia menjadi negara mesra media, adil dan bebas, konvensyen tersebut bertujuan menghimpun pengamal media independan dan profesional bagi mengumpul cadangan dan pandangan mereka.

Selain itu ia juga bagi mendengar pandangan dan pengalaman pakar, pengamal media dan tokoh masyarakat makna sebenar media adil dan bebas.

"KAMI mengharapkan media adil dan bebas yang boleh diakses oleh semua pihak dalam PRU 13 adalah peluang untuk membuktikan malaysia adalah sebuah negara demokratik," kata beliau pada sidang media di jalan Pahang, dekat sini hari ini.

Antara ahli panel yang dijangka akan menyampaikan buah fikiran ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifududdin Abdullah, veteran media Abdul Kadir Jasin dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Resolusi konvensyen tersebut akan dipanjangkan kepada pihak bertanggungjawab khususnya Kementerian Penerangan dan Komunikasi.

Konvensyen tersebut juga sebagai tanda bantahan terhadap tindkan polis yang menghalang petugas media menjalankan tugas dengan bebas sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu.

Kecam pukul wartawan

Tegasnya, KAMI mengecam kekasaran polis terhadap petugas media yang membuat liputan pada perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu.

"KAMI membantah keras tindakan keras polis terhadap pengamal media yang menjalankan tugas mereka walaupun perhimpunan tersebut pada mulanya aman," kata beliau pada sidang media di pejabat Harakah, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, KAMI sangat kesal terhadap jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa merampas bahan atau rakaman pengamal media terdapat dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) polis.

Namun jawapan tersebut tidak selari dengan jawapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

"Jawapan menteri sangat dikesali. Adakah kerana tak ada jawapan lain maka dia memberi jawapan itu?

"Nampak sangat KDN celaru dalam memberi jawapan sedangkan ketua polis negara ia tidak ada dalam SOP polis. Nampak sangat mereka tidak mempunyai SOP yang teratur," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KAMI akan turut serta dalam demonstrasi membantah kekasaran polis terhadap pentugas media di hadapan pejabat Malaysiakini esok.

"KAMI akan turun memberi sokongan kepada pengamal media esok," katanya.

No comments: