KUALA LUMPUR - Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) meminta kerajaan supaya menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat insiden serangan yang didakwa melibatkan anggota polis terhadap wartawan dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan disokong pembangkang Sabtu lepas.
Kesatuan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata jawatankuasa bebas itu harus mengambil alih siasatan kerana serangan itu melibatkan polis yang dituduh melakukan keganasan terhadap anggota media.
"Wartawan, termasuk dari media asing dipukul semasa bertugas merupakan satu tuduhan yang serius dan ia jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi serta hak wartawan untuk melakukan tugas dalam suasana dan persekitaran yang aman," katanya.
Jawatankuasa bebas itu perlu diketuai oleh sekurang-kurangnya tiga anggota iaitu seorang hakim yang bersara, bekas Presiden Majlis Peguam dan ahli akademik yang pakar dalam kewartawanan dan undang-undang kewartawanan.
"Biarlah jawatankuasa tersebut memanggil anggota polis yang terlibat dan para wartawan serta jurugambar untuk memberi keterangan supaya orang ramai akhirnya mengetahui apa yang berlaku semasa perhimpunan itu," kata kenyataan itu.
Kesatuan itu berharap agar hasil daripada laporan siasatan itu dapat
dijadikan panduan kepada sebarang insiden yang tidak diingini pada masa
akan datang.
Sementara itu, Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) mengutuk
sekeras-kerasnya tindakan ganas dan merusuh oleh peserta perhimpunan itu
dan menyifatkan mereka bertindak keterlaluan di luar batasan
undang-undang dan tidak bertamadun.
Kelab itu juga kesal di mana dua orang wartawan cedera semasa
menjalankan tugas mereka secara profesional dan berharap pihak berkuasa
mengambil tindakan tegas terhadap penganjur serta peserta yang terlibat
secara langsung terhadap tindakan keganasan yang berlaku.
KWMM juga memuji tindakan serta keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein serta Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang melawat mangsa
yang cedera dan berjanji untuk menyiasat kejadian tersebut.- Bernama
No comments:
Post a Comment