Friday, July 29, 2011

PRU-13 guna dakwat kekal jika biometrik tak sedia, Bersih minta SPR


PETALING JAYA — Dalam pertemuan kedua minggu ini Datuk Ambiga Sreenevesan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 sekiranya sistem biometrik yang diperkenalkan agensi itu masih tidak boleh dilaksanakan.

Bercakap pada forum Undang-Undang Pilihan Raya, SPR dan Pembaharuan Pilihan Raya anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) di sini, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kekal dengan pendirian agar dakwat kekal digunakan bagi menggantikan sistem biometrik.

Ini kerana tegas Ambiga, sistem biometrik yang berada di peringkat akhir kajian masih memerlukan banyak masa untuk dilaksanakan terutamanya dalam memberi penerangan kepada rakyat dan wakil parti politik.

“Kalau tak boleh jamin boleh digunakan pada pilihan raya umum ke-13, kita mahu dakwat kekal digunakan sebab ia murah dan mudah (digunakan).

“Proses untuk melaksanakan sistem ini mesti telus, kita perlu tahu siapa yang uruskan sistem ini, siapa yang dapat projek, adakah ia boleh digunakan pada pilihan raya umum ke13?” kata beliau kepada Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Pertemuan pertama secara terbuka kedua-dua tokoh itu adalah pada Selasa lalu semasa Apa Selepas 9 Julai anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam.

Dalam pertemuan itu kedua-dua Ambiga dan Wan Ahmad membahaskan soal lapan tuntutan Bersih 2.0.

Selain dakwat kekal, tujuh tuntutan lain yang perlu dilaksanakan SPR adalah membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Pada Selasa lalu, Wan Ahmad juga tidak memberi jaminan sama ada sistem biometrik boleh digunakan pada pilihan raya umum ke-13.

“Kalau tidak boleh beri jaminan pertimbangkan untuk menggunakan dakwat kekal, ini amat penting kepada kita semua dan rakyat.

“Rakyat berhak tahu apa sistem biometrik dan saya difahamkan ia memerlukan kajian dan ujian untuk melaksanakannya,” kata Ambiga.

Sementara itu, Wan Ahmad dalam ceramahnya tetap menegaskan SPR hanya badan menguruskan pilihan raya dan bukan badan penguatkuasaan.

Kata beliau, SPR hanya mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Wan Ahmad menegaskan adalah mustahil untuk SPR melakukan perkara di luar kuasa yang diberikan kepada agensi itu.

“SPR duduk di tengah-tengah, bila duduk di tengah-tengah susah nak puaskan hati banyak pihak, kalau kita buat macam ini yang satu lagi tidak setuju.

“Sukar untuk kita lakukan sesuatu yang semua orang boleh terima, kami terikat dengan peraturan, kami hanya uruskan pilihan raya dan kami bukan agensi penguatkuasaan,” katanya di hadapan kira-kira 150 peserta forum.

Mengenai politik wang, beliau menegaskan ia di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukan SPR.

“SPR boleh dipanggil sebagai responden atau saksi di mahkamah, tetapi tidak pernah dalam sejarah negara ini, SPR mengheret orang ke mahkamah berhubung rasuah,” katanya.

Tambah Wan Ahmad, beliau percaya sistem biometrik boleh menjadi kaedah terbaik untuk menangani isu pengundi hantu walaupun tidak dapat memberi jaminan bila ia akan dilaksanakan.

Menurut beliau, setiap individu mempunyai cap jari yang berbeza dan sistem tersebut boleh mengesan ralat jika berlakunya sebarang pertindihan.

“Satu-satunya jalan terbaik untuk mengenal pasti kewujudan nama pengundi bertindih adalah melalui sistem biometrik.

Beliau berkata keberkesanan sistem biometrik kini masih lagi dalam peringkat kajian yang dijalankan oleh panel penasihat yang dilantik dan belum bersedia untuk menguji keberkesanannya prototaip itu dalam masa terdekat.

“Jika sudah bersedia kita akan panggil parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional menguji keberkesanan sistem tersebut sehinggalah kita benar-benar yakin untuk gunakannya dalam pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Cadangan menggunakan sistem biometrik mendapat bantahan Pakatan Rakyat selain mahu ia dikaji dengan lebih terperinci sebelum dilaksanakan.

No comments: