Presiden PERKASA Ibrahim Ali mendakwa beliau membatalkan perhimpunan 9 Julai bagi membantah perarakan BERSIH 2.0 pada minit terakhir bagi mengelakkan pertembungan di kalangan orang Melayu.
Dakwanya beliau mengeluarkan arahan berkenaan kepada penyokong PERKASA kira-kira 90 minit sebelum mereka sepatutnya berkumpul di Taman Tasik Titiwangsa pada jam 2.30 petang Sabtu itu.
Menurut Ibraham, keputusan menarik diri itu dibuat selepas kira-kira 50 ahlinya yang dihantar sebagai penyamar menyelinap di kalangan penyokong BERSIH 2.0 bagi memantau perkembangan pada hari tersebut.
"Mereka beritahu saya, peserta (BERSIH 2.0) adalah orang Melayu. Cina hanya sedikit, mungkin satu atau dua peratus, dan India lagi tidak ramai.
"Saya tanya mana (pemimpin DAP) Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, mereka kata tak ada. Kemudian, saya tanya siapa yang ada? Mereka kata (ketua umum PKR) Anwar (Ibrahim) dan (presiden PAS) Abdul Hadi Awang," kata Ibrahim.
"Jika kita (PERKASA) berkumpul, kita tidak boleh menahan penyokong kita daripada berarak, dan akan berlaku pertembungan di kalangan orang Melayu,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan stesen TV internet - eTV - minggu lalu.
Keputusan 'berani'
Ibrahim juga mendakwa dua faktor lain yang mempengaruhi keputusan 'berani' yang diambilnya itu bagi membatalkan perhimpunan PERKASA adalah kerana menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Sultan Selangor yang tidak mahu demonstrasi jalanan diadakan.
Pada masa yang sama, dakwanya PERKASA tidak mahu menambahkan beban polis yang terpaksa berdepan dengan perhimpunan haram BERSIH pada hari berkenaan.
"Jadi mengambil kira titah Agong dan Sultan, dan demi orang Melayu serta menyedari polis sibuk mengawal BERSIH, jadi saya buat keputusan berani supaya perhimpunan (PERKASA) tidak diadakan. Saya batalkan perhimpunan pada jam 1 petang.
"Jika saya teruskan pada hari itu, dengan senang saya boleh kumpulkan 3,000 orang. Apabila saya batalkan perhimpunan itu, di Titiwangsa sudahpun berada 300 ahli PERKASA,” dakwanya.
Sambil menafikan dirinya itu pengecut dan dakwaan bahawa PERKASA gagal mengumpulkan penyokongnya, Ibrahim, 61, yang juga ahli parlimen Bebas bagi Pasir Mas berkata menjelang 9 Julai, 15,000 orang telah berdaftar bagi menyertai perhimpunan itu.
Ibrahim bagaimanapun mengakui pada hari tersebut beliau berada di rumah dan berulang-kali menafikan ahli PERKASA adalah penakut dan mendakwa semua penyokongnya telah bersiap-sedia dan hanya menunggu arahannya.
Malah, dakwanya mereka yang membuat tuduhan seumpama itu adalah golongan yang sakit, bodoh dan banggang yang cuba memprovokasikan dirinya.
No comments:
Post a Comment