Roketkini.com
KUALA LUMPUR – Polis perlu membuka semula siasatan untuk memastikan siapa yang sebenarnya menyebabkan kematioan Teoh Beng Hock (TBH), kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Katanya, empat petunjuk terbaru dari laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TBH boleh membantu polis untuk mencari pemangsa yang bertanggungjawab.
Menurutnya, empat petunjuk yang dapat membantu polis melakukan siasatan itu ialah berkaitan ‘dalang’ penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Hishamuddin Hashim (HH), ‘siasatan keempat’, penyalahgunaan kuasa HH dan ‘kotak hitam’.
Dalam petunjuk pertama, Kit Siang menyatakan bahawa perenggan 176, 336, dan 337 laporan RCI TBH, mendedahkan pegawai SPRM Anuar Ismail yang sedia berkorban termasuk menipu bagi pihak HH.
“Adakah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan menangkap dan mendakwa Hishammuddin atas sumpah dustanya hanya dengan bersandarkan perenggan 336?” soal beliau.
Justeru itu, jelas Kit Siang, polis telah ditipu melalui keterangan yang diberikan Hishammuddin dan pegawai SPRM Selangor tertentu mengenai apa yang berlaku terhadap TBH dalam tiga soal siasat di pejabat SPRM pada 15 dan 16 Julai 2008.
Oleh itu tambahnya, memandangkan keterangan yang diberikan itu tidak bernilai dan harus ditolak, maka polis harus mengadakan kembali siasatan.
Dalam petunjuk kedua, Kit Siang berkata bahawa pada perenggan 229 laporan itu, di mana setelah soal siasat keempat dan yang terakhir selesai, TBH telah mengalami kesihatan fizikal atau mental yang sangat teruk.
“Siasatan polis mengenai kematian TBH tidak pernah sebut mengenai ‘soal siasat keempat’ yang berlaku sekitar jam 3.30 pagi hingga 7 pagi pada 16 Julai.
“(Inilah) petunjuk kedua dari laporan RCI TBH dan sebab kenapa polis perlu membuka semula siasatan mereka. Malah, adalah perlu bagi polis untuk menyiasat sama ada terdapat ‘soal siasat kelima’ diantara 7 pagi hingga 11 pagi – bergantung pada waktu kematian TBH,” katanya.
Dalam petunjuk ketiga, Kit Siang berkata bahawa dalam perenggan 23, dijelaskan bahawa Hishamuddin mempunyai kuasa mutlak menyiasat sesiapa yang disyaki terlibat dalam apa-apa amalan rasuah di Selangor tanpa perlu mendapat persetujuan pegawai atasannya di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
“Hishamuddin ternyata menyalahgunakan kuasanya apabila mengarahkan 33 pegawai operasi yang mana membawa kepada kematian TBH hanya berdasarkan rasa percaya dan panggilan telefon, bukan dengan sokongan fakta kukuh,” katanya.
Justeru itu, beliau mahu polis membuka kembali siasatan kematian TBH, siapa yang memberikan Hishamuddin imuniti dan dengan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang serta melakukan jenayah.
Dalam petunjuk keempat, Kit Siang menegaskan selepas beberapa hari kematian TBH, telah muncul ‘kotak hitam’ yang mendakwa DAP sebagai punca kematian TBH, untuk mengganggu tumpuan rakyat dari punca sebenar kematian mendiang
“Tambahan pula, ‘kotak hitam’ itu mempunyai kesan jari pegawai SPRM yang mana ianya mengandungi dokumen berkaitan soal siasat TBH.
“Ini adalah petunjuk keempat yang mewajarkan lagi agar pembukaan semula siasatan polis untuk memastikan siapa yang berada di sebalik ‘kotak hitam’ itu mungkin telah menemui orang yang menyebabkan kematian TBH juga,” katanya.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, RCI yang dikendalikan Hakim Tan Sri James Foong itu sangat mengecewakan memandangkan ia merumuskan TBH telah didorong membunuh diri akibat soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan tidak bertanggungjawab oleh pegawai-pegawai SPRM.
“(Rumusan itu) telah ditolak oleh semua rakyat Malaysia yang berfikiran wajar,” katanya dalam forum anjuran DAP bertajuk Laporan Siasatan Diraja Teoh Beng Hock – Di Mana Kebenaran yang Dijanjikan? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor di sini semalam.
Pada 24 Julai lalu Kit Siang telah mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz supaya menjelaskan mengapa Nazri menganggap SPRM dan pegawai-pegawainya telah ‘dibebaskan’ dari sebarang tanggungjawab berhubung kematian TBH.
“Laporan RCI TBH tidak menyebut secara spesifik nama pegawai-pegawai SPRM yang bertanggungjawab, walau pun identiti mereka sangat jelas kepada sesiapa yang membaca laporan itu.
“Tetapi, bagaimana pula Nazri boleh mendakwa SPRM sudah dibebaskan dari tanggungjawab kematian TBH sedangkan laporan itu terang-terang menyebut ‘pegawai SPRM’ sebagai yang bertanggungjawab terhadap kematiannya?” katanya dalam satu ceramah beliau di Ipoh pada 24 Julai lalu.
Kit Siang berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Nazri dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Ahad lalu yang menyebut beliau sebagai berkata “sudah jelas SPRM bebas daripada tuduhan ini.”
Dalam wawancara dengan lidah UMNO itu, Nazri berkata kes TBH telah ditutup dan tidak perlu untuk mewujudkan sebuah lagi RCI kerana keluarga TBH dan pihak pembangkang telah menolak keputusan bunuh diri oleh RCI.
Menurut Kit Siang, Majlis Peguam juga menolak laporan RCI TBH dan menuntut supaya pihak berkuasa menyiasat pegawai SPRM untuk didakwa di bawah Kanun Keseksaan mengikut seksyen 304 dan 304a.
Setiausaha DAP Selangor Ean Yong Hian Wah dalam sidang media beliau pada Isnin lalu berkata, percubaan RCI memutarbelitkan kematian TBH hanya akan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak berminat mencari keadilan, sebaliknya menutup kebenaran.
“Laporan RCI sepatutnya menjelaskan punca kematian mendiang, bukan menambahkan lagi tanda tanya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Seri Kembangan dan bekas majikan kepada TBH menjelaskan bahawa rakyat Malaysia berkongsi perasaan tidak percaya dan marah bila RCI melaporkan fikiran mendiang, hanya dalam beberapa jam sahaja boleh berubah.
Tambah Ean Yong, beliau bersama Wong Hong Chae dan Lee Wye Wing sudah menjelaskan ketika perbicaraan RCI bahawa tiada bayaran pendahuluan dari DAP Serdang Aman untuk membiayai projek kecil (infrastruktur) yang berada di kawasannya.
“Bagaimana pun, RCI tidak lihat fakta ini tetapi sebaliknya mengeluarkan kenyataan berbeza dalam laporan tersebut,” katanya.
Justeru itu, beliau menjelaskan perenggan 108, 109 dan110 laporan RCI itu di mana bertentangan fakta antara satu sama lain dan pada perenggan 110 menjelaskan “tiada satu resit pun yang amaunnya sama dengan yang dibayar kepada DAP.”
“Di dalam testimoni bertulis semasa perbicaraan RCI, pemangku Penguasa Kanan SPRM Ahmad Shafik Abdul Rahman memberitahu RCI bahawa keputusan siasatannya menunjukkan bahawa pembayaran balik dan resit itu sepadan dan projek-projek telah dijalankan.
“Kenapa tidak konsisten bukti-bukti di antara prosiding dan laporan RCI ini?” soalnya.
No comments:
Post a Comment