EKSKLUSIF PETALING JAYA: Pindaan Perlembagaan Negeri Perak baru-baru ini dianggap sebagai tidak sah dan wajar di bawa ke mahkamah setelah pindaan yang dibuat itu tidak dibacakan beberapa kali dan tidak mendapat sokongan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak terlebih dahulu.
Demikian kata Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Dr Aziz Bari kepada FMT hari ini ketika memberikan pandangan beliau berkaitan isu Pindaan Perlembagaan Negeri Perak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.
"Kalau isu yang membabitkan giliran kenaikan tahkta, memanglah kuasa Baginda Sultan Perak, tetapi isu ini membabitkan penambahan bilangan pemegang jawatan sekaligus membabitkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri.
"Sebab kalau sudah ada jawatan, tentulah ada elaun dan sebagainya, takkan tidak diberi apa-apa kemudahan, bayaran gaji atau pun elaun. Jadi persoalannya ialah kemampuan kerajaan negeri memikul kos tambahan itu.
"Jadi jelas dalam isu ini ia tertakluk kepada kuasa DUN melalui enakmennya untuk memutuskannya dan ia memerlukan beberapa kali bacaan dan haruslah memperolehi sokongan tidak kurang dua pertiga ahli-ahli dewan," jelas beliau yang berpengalaman lebih 21 tahun mengajar undang-undang.
Aziz berpendapat isu pindaan perlembagaan ini tidak seharusnya timbul jika Barisan Nasional Negeri Perak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengikuti lunas-lunas perlembagaan apatah lagi beliau juga percaya tiada sebarang masalah untuk ADUN dari PAS, DAP dan PKR untuk menyokong usul ini jika pindaan ini dijalankan secara yang sepatutnya.
"Saya tidak rasa usul ini akan mendapat tentangan dari ADUN-ADUN PAS, DAP dan PKR kerana mereka juga mahu membuktikan taat setia kepada raja. Jadi, mengapa pindaan ini dibuat secara terburu-buru sehingga membelakangkan Perlembagaan Negeri?
"Mungkin ADUN-ADUN ini bukanlah membantah usul ini tetapi membantah apabila peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Perak di belakangkan dan kemungkinan untuk berlaku lagi selepas ini tidak mustahil jika dibiarkan sahaja," katanya lagi.
Bawa ke mahkamah
Beliau juga memberitahu, satu-satu jalan yang ada untuk menyelesaikan pertikaian ini adalah dengan membawa isu pindaan ini samada ke Mahkamah Tinggi atau pun Mahkamah Persekutuan.
"Walaupun kita tahu pada masa ini banyak keputusan mahkamah dalam negara pada masa ini dipertikaikan oleh masyarakat tetapi hanya itulah satu-satunya mekanisme yang ada," ujar beliau.
Sebelum ini, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Perak, satu usul yang dibentangkan oleh Zambry bagi meminda perlembagaan negeri diluluskan oleh dewan undangan negeri itu tanpa mendapat sokongan majoriti dua pertiga.
Pindaan itu bagi membolehkan empat lagi Raja Bergelar dengan jawatan Raja Kecil Besar, Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah and Raja Kecil Bongsu dimasukkan dalam kerabat Istana.
Pindaan tersebut telah mendapat bantahan dari ADUN-ADUN PAS, DAP dan PKR kerana peruntukan enakmen undang-undang negeri mesti dibentang sebelum perlembagaan boleh dipinda.
Enakmen seumpama itu juga memerlukan beberapa kali bacaan di DUN sebelum dewan mengundi dan ia mesti mendapat kelulusan dua pertiga daripada ahli-ahli dewan.
Sementara itu, dalam isu lain yang berkaitan perlantikan Timbalan Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu, Aziz sebelum ini turut menyuarakan pendapatnya berkata,
"Lebih baik mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri mahupun Perdana Menteri bukan Melayu yang menghormati perlembagaan daripada mempunyai Perdana Menteri Melayu yang meletakkan dirinya di atas perlembagaan."
No comments:
Post a Comment