KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan kerajaan negeri sudah mula rasa takut dengan slogan 1 Malaysia sebagaimana didakwa oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN sejak beberapa hari lalu.
Merujuk kepada isu larangan penggunaan logo 1 Malaysia pada papan iklan bisnes, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Husin berkata, rakyat terutama di Selangor telah bersatu padu khususnya selepas Mac 2008 dan oleh itu, konsep tersebut tidak akan memberi kesan.
“Slogan dalam apa bunyi sekalipun tidak memberi makna kepada kami, jauh sekali berasa takut.
“Sebaliknya, sumber-sumber kerajaan negeri akan ditujukan sepenuhnya untuk menyemai nilai-nilai muhibah yang jitu, membanteras segala unsur rasuah dan menegakkan keadilan atas prinsip 1 Undang-undang Untuk Seluruh Rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.
Malah menurut Faekah, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa slogan 1 Malaysia bukan alat propaganda politik BN tetapi wadah penyatuan membina masyarakat amat menggelikan hati.
Kata beliau, sebaiknya Najib mengarahkan syarikat yang membolot kontrak mencetak kain rentang dan banting slogan ini menarik balik semula kain rentang dan banting yang telah mereka cetak dan pasang.
“Jika tidak, ia akan menunjukkan perdana menteri menipu dalam terang. Rakyat melihat dengan jelas bagaimana lambang BN terpapar pada setiap banting yang dipasang.
“Gambar perdana menteri yang jauh lebih besar dari Jalur Gemilang juga menjengkelkan mata,” katanya.
Sehubungan tambah beliau, “nasihat saya baik tarik semula sebelum diketawakan anak-anak.”
Semalam, Najib berkata konsep 1 Malaysia adalah untuk membina sebuah negara dan bukan bagi tujuan politik.
Beliau berkata tanpa ragu-ragu, semangat bersama ini dan mampu untuk bangkit melangkaui perbezaan politik, adalah penting dalam memastikan keamanan dan kestabilan berterusan di negara ini.
“Sungguhpun ada sesetengah mungkin memikirkan (1 Malaysia) adalah untuk tujuan politik tetapi ia sebenarnya bagi tujuan membina sebuah negara.
“Ia untuk kita untuk bersama, bagi kita untuk merasakan bahawa kita adalah milik sebuah negara, seorang dengan satu wawasan dan itulah untuk kita mara ke hadapan bagi membina kemakmuran, keharmonian dan kejayaan sebenar sebuah negara pada Abad ke-21,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga mendakwa Selangor sudah takut dengan populariti 1 Malaysia.
Malah semalam, Exco Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab ke atas portfolio pihak berkuasa tempatan, Ronnie Liu dipetik berkata, kerajaan Selangor menangguhkan pelaksanaan melarang kesemua pihak berkuasa tempatan meletakkan logo 1 Malaysia sebagai bahan iklan di premis perniagaan sehingga notis selanjutnya.
Kata beliau, penanggguhan ini dibuat berikutan kekeliruan mengenai takrif logo 1 Malaysia yang disifatkan sebagai propaganda BN ada bahan iklan.
“Masih terdapat perkara yang samar-samar tentang apa dianggap sebagai aksi penarik publisiti oleh BN dan apa yang bukan,” kata beliau sambil menambah, banyak pihak berkuasa tempatan masih kurang jelas tentang bentuk pengiklanan yang dilarang.
Dalam kenyataannya hari ini, Faekah juga menjelaskan, apa pun isu yang lebih penting yang perdana menteri atau timbalan perdana menteri harus jelaskan kepada rakyat ialah jika benar ia adalah alat penyatuan dan bukan propaganda Umno-BN mengapa perkara ini tidak pernah dibincang dan dibahaskan dalam Parlimen.
“Mengapa ia tidak dimasukkan dalam bajet negara sedangkan bayaran bagi menghasilkan slogan ‘indah’ ini mencecah RM100 juta.
“Mengapa hanya setelah Ketua Pembangkang membangkitkan perkara ini dengan kaitan kepada penglibatan APCO barulah Parlimen membahaskannya?
“Itupun bukan untuk membahaskan kewujudannya, bayaran ke atasnya, mahupun matlamat mewujudkannya tetapi mahu menghukum Ketua Pembangkang kerana mengetengahkannya,” kata pegawai kanan Menteri Besar Selangor ini.
Beliau berhujah, sebarang perkara untuk kebaikan rakyat majmuk di negara ini khusus perpaduan, pasti mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen pembangkang.
“Namun persoalannya, ini tidak dilakukan dan seluruh proses kewujudan 1 Malaysia ini cuba dirahsiakan.
“Ini jelas kelihatan apabila akhirnya minggu lalu Ketua Pembangkang dan tiga Ahli Parlimen digantung tanpa diberi hak membela diri,” katanya.
Tegas Faekah, untuk menerima 1 Malaysia sebagai slogan penyatuan sebagaimana dipertahankan oleh Najib semalam memang jauh dan tidak sama sekali.
“Ia lebih kepada simbol politik Umno-BN yang telah membunuh kesucian Parlimen; institusi tertinggi Negara.
“Sekali gus ia telah menjadikan hari hitam kepada Parlimen dan amalan demokrasi yang selama ini dikatakan diamalkan di negara ini,” kata beliau sambil menambah, ternyata rata-rata rakyat Malaysia tidak menikmati 1 Malaysia.
“... tetapi 2 Malaysia yang penuh dwistandard. Satu untuk Malaysia Umno-BN dan satu untuk Malaysia rakyat marhaen,” katanya.
“Kita pelik dengan sikap ambil mudah perdana menteri yang merasakan rakyat boleh diperdaya melalui satu slogan.
“Sepanjang 50 tahun memerintah, Umno-BN tidak pernah berhenti melaga-lagakan kaum dan agama.
“Akibatnya, syak wasangka kian menebal. Isu perarakan kepala lembu, kepala babi dan pembakaran surau berlaku selepas 1 Malaysia,” kata beliau lagi.
Beliau menambah, apabila sesuatu dilakukan tanpa niat yang ikhlas maka pelaksanaannya pasti pincang.
“Logo 1 Malaysia bertembung dengan Jalur Gemilang.
“Perdana menteri menjerit ‘1 Malaysia’, timbalan perdana menteri melaungkan ‘Melayu Dahulu’.
“Presiden Umno menjunjung 1 Malaysia, naib presiden Umno menjulang keris bertempek Ketuanan Melayu.
“Hakikatnya kerana tidak ikhlas, berkata tidak sekata, melangkah pula, mengorak langkah sumbang,” katanya.
No comments:
Post a Comment