Tuesday, December 28, 2010

Nama pemilih undi pos dikeluarkan

SINAR HARIAN ONLINE

PEKAN SIK - Keputusan Pilihan Raya Negeri bagi mengeluarkan 133 nama pemilih yang didaftarkan sebagai pemilih undi pos di Kem Gubir ternyata memberi kelegaan kepada pihak pembantah.

Pengarah Pilihan Raya Negeri, Juhari Abd Rahman, berkata, pihaknya menjalankan proses biasa dengan melakukan perbicaraan sekiranya terdapat sebarang bantahan setelah senarai nama pemilih dipamerkan.

Katanya, dalam kes ini, seramai 15 orang pembantah mengemukakan bantahan mereka berkaitan senarai nama 133 orang pemilih undi pos tidak mempunyai tempat kediaman di Kem Gubir seperti yang tertakluk dalam peraturan pilihan raya.

“Bantahan yang diterima mempunyai kewajarannya dan munasabah kerana Kem Gubir sememangnya tidak mempunyai tempat kediaman keluarga serta fungsinya adalah sebagai tempat persinggahan operasi anggota tentera sering bertukar dalam tempoh tiga bulan.

“Kami menerima bantahan berkenaan dan proses selanjutnya keputusan perbicaraan ini akan dihantar ke ibu pejabat pendaftar serta surat mengenai keputusan perbicaraan juga akan dihantar kepada pihak pembantah,” katanya.

Juhari berkata, soal bermastautin tidak menjadi isu dalam kes ini kerana bermastautin dalam kes melibatkan anggota tentera berlainan daripada orang awam dan lokasi tempat mengundi mereka bergantung kepada tempat mereka bekerja.

“Pihak kami tidak menghalang mana-mana pihak untuk membuat sebarang bantahan atau rayuan terhadap senarai nama daftar pemilih yang dikeluarkan namun, tertakluk kepada tempoh ditetapkan.

“Sekiranya kami menerima sebarang permohonan bantahan, satu sesi perbicaraan akan dilaksanakan bagi menentukan status pemilih berkenaan sebelum sebarang keputusan mengenainya dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek, Mohd Isa Shafie, berkata, pihaknya tampil mengemukakan permohonan bantahan berkenaan pada 26 Oktober kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Keputusan berkenaan dibuat setelah kami mengenal pasti kesemua nama-nama berkenaan adalah nama isteri tentera yang pernah bertugas di Kem Gubir sedangkan mengikut peraturan pilihan raya hanya mereka yang tinggal dalam kediaman kem boleh menjadi pemilih undi pos.

“Kami bersyukur kerana keputusan perbicaraan mengenai bantahan daftar pemilih undi pos berpihak kepada kami dan kesemua nama itu akan dikeluarkan dari senarai nama pemilih berkenaan,” katanya.

Pengarah Urusan Pemilihan Jabatan Pilihan Raya Pas Kedah, Zulkifli Ismail, berkata, tindakan yang dilaksanakan pihak pembantah adalah wajar dilaksanakan kerana mereka mempunyai hak dan memastikan peraturan pilihan raya sentiasa dipatuhi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Yahya Abdullah dan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

No comments: