Thursday, December 9, 2010

Nurul Izzah pertikai DBKL mahu roboh ‘surau pembangkang’

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR ─ Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu meroboh Surau Al-Falah (Lama) yang dilabel “surau pembangkang” secara tiba-tiba sedangkan premis itu pernah menerima bantuan pihak berkuasa tempatan itu.

Nurul Izzah (gambar) mendesak pihak berwajib menjelaskan sebab yang mendorong DBKL mahu merobohkan surau tersebut. “Baru dua bulan DBKL sendiri mengecat bangunan (surau) ini (sehingga) cantik dan indah, malah Ketua Pengarah DBKL sendiri dilaporkan pernah hadir program pada Ramadan lalu... tiba-tiba notis ini dikeluarkan dengan mereka tidak melayan memorandum dan surat-surat ahli kariah ini.

“Kami minta perundingan dan serah surat kepada DBKL tetapi surat-surat kami tidak dijawab hitam putih daripada Menteri Wilayah.

“Sekurang-kurangnya jawab surat-surat penduduk setinggan di sini dan berunding dahulu dengan mereka jika mahu meneruskan hasrat ini,” ujar Nurul Izzah ketika ditemui di kawasan surau itu awal pagi ini.

Sejak 8 pagi tadi, Nurul Izzah bersama-sama lebih 70 orang berhimpun di pekarangan surau tersebut memprotes hasrat DBKL tersebut. Surau itu yang dijadual untuk dirobohkan hari ini ditangguhkan dengan jaminan mulut DBKL, kata pengerusi surau Jasni Abdullah. Jaminan mulut diberikan dua hari lalu walaupun notis 30 hari agar mengosongkan surau yang DBKL berakhir hari ini.

“Setakat ini, pihak penguat kuasa (DBKL) hanya memberi jaminan lisan untuk tidak merobohkan surau pada hari ini sahaja, esok belum tentu lagi.

“Saya ada dengar label itu (surau pembangkang) tetapi surau ini hanya buat kuliah dan kalau baca ayat-ayat al-Quran terkena batang hidung pihak tertentu biasalah,” kata Jasni kepada The Malaysian Insider. Jasni bagaimanapun komited untuk berunding dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusup supaya surau itu yang dibina 12 tahun oleh DBKL sendiri tidak dirobohkan.

“Kita akan terus menggunakan saluran diplomasi untuk berbincang dengan (Ketua) Pengarah DBKL dan Menteri Wilayah sendiri walaupun surat-surat serta memorandum yang kita hantar tidak pernah dibalas oleh mereka.

“Jaminan lisan tidak cukup, kita nak satu jawapan rasmi, kita tak setuju (hasrat merobohkan surau) tiba-tiba notis DBKL ini ditampal di surau ini,” ujarnya lagi.

Pada 16 November lalu, ahli kariah menghantar memorandum memohon penarikan notis DBKL, tetapi tidak dijawab sehingga hari ini.

Ahli kariah turut menghantar surat memohon perbincangan dengan Raja Nong Chik dan Salleh pada 24 November lalu, namun tidak berjawab.

Kelmarin, DBKL memberi jaminan untuk tidak merobohkan surau tersebut pada hari ini. Lanjutan itu, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR menyifatkan wujud campur tangan ahli politik tertentu di sebalik usaha merobohkan surau tersebut.

“Secara permulaan ini, ini adalah arahan daripada Menteri Wilayah Persekutuan.

“Saya kira ada elemen politik dalam perkara ini, yang mungkin arahan Menteri Wilayah kerana surau ini dikenali aktif melaksanakan aktiviti agama dan masyarakat yang bagi mereka dianggap ‘surau pembangkang’,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Nurul Izzah bercadang menghantar surat khusus untuk berbincang status surau tersebut kepada Raja Nong Chik dalam masa terdekat.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya pula bercadang melancarkan demonstrasi di Masjid Putra, Putrajaya selepas solat Jumaat esok dan menyerahkan satu memorandum protes kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penduduk tempatan pula berkata akan membuat kawalan keselamatan secara bergilir-gilir ke atas surau itu.

No comments: