Saturday, December 25, 2010

Kedai makan veteran PAS terbakar

Khairil Abdul Rahim

KUALA LIPIS: Kesibukan melayan pelanggan kelmarin bertukar menjadi panik kepada veteran PAS Isa Talib, 61, dan keluarganya, apabila api tiba-tiba marak daripada sebelah belakang lalu memusnahkan sama sekali kedai makannya dalam tempoh setengah jam.

Kebakaran kedai makan yang terletak di hadapan markas PAS Kampung Teluk Gunung, Merapoh berhadapan jalan Lipis - Gua Musang itu menyebabkan Isa sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Isa, tragedi yang berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika pelanggannya sedang makan dan minum itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.

“Syukurlah kami sempat lari bertempiaran menyelamatkan nyawa kerana kejadian berlaku terlalu pantas,” ujarnya.

Tambah Isa, kebakaran dapat dikawal daripada merebak setelah tiga buah kereta bomba dari Lipis dan Merapoh datang memadamkan api.

Kedai makan Isa sebelum ini menjadi tempat persinggahan musafir untuk berehat dan menjamu selera.

Sementara itu, Setiausaha Perhungan PAS Pahang Roslan Zainal sempat menziarahi mangsa sambil menghulurkan bantuan kewangan sumbangan PAS Kawasan Lipis dan PAS Negeri.

Roslan berkata, orang ramai yang bersimpati dan mahu membantu bolehlah menghulurkan sumbangan ke akaun anak beliau di Agro Bank: 2006111000028436 (di atas nama Suhaida bt Ilyasa).

Maklumkan sumbangan tersebut melalui SMS kpd Ketua PAS Cawangan, Hj. Abdullah Che Mat: 012-6039 435.

No comments: