Friday, December 3, 2010

JPJ DISERU PANTAU PENCERAMAH TAK BERTAULIAH

UMD FADLY EMAN

SAYA tujukan surat terbuka ini kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dan Pengarah JPJ Sabah berhubung isu institut memandu di seluruh Malaysia melantik penceramah tidak bertauliah.

Selaku pembayar cukai, saya meminta JPJ memantau, mengkaji semula kuasa-kuasa dan kebenaran yang telah diberikan kepada pihak Institut Memandu di seluruh Malaysia berkenaan dengan modul pengendalian bengkel 6 jam.

Pihak JPJ juga seharusnya mengarahkan dengan segera mana-mana Institut Memandu yang mengendalikan bengkel 6 jam menggunakan tenaga pengajar yang hanya memegang SPIM ditukar atau digantikan kepada tenaga pengajar yang mempunyai sijil KPP dan QTI sahaja.

Apa yang berlaku sekarang, pengendalian bengkel 6 jam itu dibuat 3 jam di dalam kelas dan 3 jam lagi di luar kelas oleh tenaga pengajar yang hanya memegang sijil SPIM sahaja.

Sepatutnya 3 jam di dalam kelas itu dikendalikan oleh tenaga pengajar yang memiliki sijil SPIM, KPP, QTI dan 3 jam lagi di luar kelas itu bolehlah dikendalikan oleh tenaga pengajar pemegang sijil SPIM.

Apa yang saya dapat lihat di sini, modul ini masih belum dapat mencapai objektif kerana 3 jam yang dikendalikan di dalam kelas itu pihak Institut Memandu menggunakan penceramah yang tidak bertauliah dari segi persijilan KPP, apatah lagi hanya memegang sijil QTI.

Saya timbulkan perkara ini kerana calon bakal pemegang lesen memandu ini masih belum memahami konsep pemanduan berhemah itu sendiri terutama semasa ujian bahagian 2 dan 3 dijalankan.

Sepatutnya bengkel 3 jam di dalam kelas itu sewajibnya dijalankan oleh penceramah-penceramah yang mempunyai sijil Penceramah KPP dan sijil QTI kerana tenaga pengajar ini telah didedahkan dan disijilkan mengikut tuntutan-tuntutan ujian memandu.

Penceramah yang layak atau memilik sijil SPIM, KPP, QTI dapat menerangkan kepada bakal calon pemegang lesen memandu bagaimana lulus dan gagalnya berhubung setiap sikap dan tingkah laku calon itu yang betul.

Seperti yang kita tahu, maksud bengkel itu diadakan ialah untuk memberi pengetahuan secara asas mekanikal dan tatacara secara asas kepada calon. Namun cara ini tidak dipatuhi semua oleh Institut Memandu, maka modul yabng direka cipta oleh pihak JPJ dan pihak lain yang berkenaan tidak mencapai matlamat seperti yang dimaksudkan. Modul Tinggal Modul!

No comments: