Kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional dipercayai menggunakan Jemaah Islamiah untuk menekan bekas Mufti Perlis Dr Muhd Asri Zainul Abidin dan Presiden Pas Abdul Hadi Awang memaksa mereka supaya tunduk pada pemerintah.
Pakatan Rakyat mengesyaki usaha Institut Latihan Islam Malaysia yang berada di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengaitkan kedua tokoh agama itu kepada gerakan pengganas adalah strategi untuk menakutkan mereka dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Spekulasi sebelum ini kuat mengatakan Asri akan memasuki parti pemerintah itu bersama beberapa golongan ulama, dalam usaha Umno untuk menarik sokongan penganut Islam menghadapi pilihanraya umum ke-13.
Pemerhati politik bagaimanapun berpendapat ulama berfahaman moderan itu tidak mungkin memasuki Umno, yang bertanggungjawab meluluskan kegiatan undi sukan dan ketegangan agama sekitar isu Kalimah Allah.
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata tindakan kerajaan mengaitkan bekas Mufti Perlis itu kepada gerakan pengganas dipercayai strategi untuk memaksa Asri masuk Umno.
“Saya percaya ada satu sikap yang jelas kepada Umno bahawa dia tidak akan sertai Umno, dia tidak mahu sertai Umno dan ini mungkin sebagai satu tekanan kepada beliau, bagi satu tekanan besar kepada dia dan mungkin dia akan menyertai Umno.
“Bahawa apabila Dr.Asri dilabelkan dengan isu keselamatan, maka yang dibayangi untuknya ialah ISA,” katanya.
Selain dari Asri, Mufti Perlis Sahibus Samahah Juanda Jaya dan Presiden Pas Abdul Hadi Awang turut dikaitkan kepada gerakan Jemaah Islamiah.
Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub mengesyaki ada usaha untuk menjerat Abdul Hadi Awang yang tegas menolak sebarang kerjasama dengan Umno-Barisan Nasional di Muktamar Tahunan Pas ke-56 awal bulan ini.
“Saya rasa ini satu yang cuba untuk diselewengkan oleh isu yang sebenarnya. Sebagaimana yang kita bimbangani ini adalah merupakan satu konspirasi cara terancang yang melibatkan golongan agama cuba untuk menjustifikasikan matlamat mereka," katanya.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengecam tindakan kerajaan Umno-BN mengaitkan tokoh agama dan politik pembangkang dengan gerakan pengganas.
“Sebagaimana yang diketahui ISA sedang diusahakan untuk dimansuhkan maka saya sudah tengok isu JI ini telah disengajakan wujud dari minggu lepas lagi.
“Saya sudah andaikan ada satu arah dan hala tuju berkenaan dengan isu ini dan sekarang ini kita tengok ada dikaitkan dengan pimpinan-pimpinan Islamik. Ini merupakan satu yang tidak berasas dan ianya merupakan satu plotik kotor untuk membendung pemimpin-pemimpin politik yang menggugat keselamatan kerajaan Bn.
“Politik cara ini dan propaganda cara ini mesti kita tolak habis-habisan, saya ingin menegaskan ini adalah taktik kotor Bn dan kita mesti tentang habis-habisan,” katanya.
No comments:
Post a Comment