DETIK DAILY
KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengekalkan hukuman ke atas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua telah menimbulkan kontroversi. Ia menjadi perdebatan ramai ekoran keputusan mahkamah mengenakan denda RM2,000 ke atasnya selepas didapati bersalah mengigit seorang penjawat awam yang bertugas. Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, menjelaskan kelayakan seorang ahli Parlimen gugur jika beliau dihukum penjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000 dan tidak mendapat keampunan
Bagi menjelaskan kontroversi ini, TARMIZI MOHD JAM mendapatkan pengamatan pakar perlembagaan, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari berkenaan simpang-siur isu ini.
Apa pandangan profesor terhadap kedudukan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu?
PROF. DR ABDUL AZIZ BARI: Saya fikir isu ini mudah dan tidak sepatutnya menjadi perbahasan. Kalau kita lihat undang-undang ia cukup jelas di mana Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 48(1)(e) jelas menyebut bahawa Tian Chua hilang kelayakan kerana beliau telah disabitkan dengan satu kesalahan dan dihukum denda tidak kurang daripada RM2,000. Dalam kes ini, Tian Chua didenda RM2,000 jadi apa yang tidak jelas? Saya setuju dengan pandangan yang sama yang dinyatakan oleh YB Karpal Singh dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Dato' NH Chan. Malaysia menjadi bahan ketawa dunia kerana bertengkar dalam soal yang cukup jelas. Orang biasa yang tak belajar undang-undang pun tahu maksud "tidak kurang daripada dua ribu". Apa yang hendak dibelit lagi?
Kalau begitu apa yang jadi kelam kabut dan timbul macam-macam pandangan tentang sama ada Tian Chua masih atau telah terbatal kedudukannya sebagai ahli parlimen?
Saya rasa kita tahu kenapa jadi begitu. Kita tahu kenapa Tian Chua diseret ke mahkamah dan disabitkan. Tetapi selepas kekalahan di kubu mereka di Sibu, Barisan Nasional (BN) jadi takut. Kita boleh faham kenapa SPR sendiri dengan tiba-tiba macam tidak begitu berminat mengadakan pilihan raya. Dan saya sendiri pelik kenapa soal mengelakkan pilihan raya kecil disebut oleh Hakim Dato' Ghazali Cha.
Apakah Profesor menganggap kenyataan hakim berkenaan tidak betul?
Saya tidak fikir hakim berkenaan patut berkata begitu. Kita kena sedar bahawa kes Tian Chua ialah kes jenayah dan dengan itu ia perlu ditangani mengikut undang-undang jenayah. Kalau beliau bersalah beliau perlu dihukum mengikut undang-undang. Pada saya hakim tidak perlu mengambilkira kesan hukuman itu; itu pertimbangan politik bukan undang-undang. Macam juga kes Bung Mukhtar yang berpoligami tanpa kebenaran. Hukumlah mengikut undang-undang yang berkenaan. Jangan kaitkan benda yang tidak relevan. Dan saya amat prihatin dengan kenyataan YB Tian Chua yang menyebut bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak melayan hujahnya yang mahukan keterangan yang diterima oleh majisteret dalam mensabitkan dirinya. Ini cukup penting bagi saya; yakni sama ada benar Tian Chua menggigit anggota polis berkenaan sebagaimana yang dituduh atau sebaliknya.
Mengandaikan Profesor menjadi hakim dalam kes Tian Chua ini, apa yang akan Profesor akan lakukan?
Kalau saya duduk di situ, saya akan timbangkan hujah Tian Chua yang mempertikaikan bukti-bukti yang diterima dalam mensabitkan beliau. Kalau majisteret itu betul, kekalkan hukuman yang dikenakan ke atas Tian Chua. Kalau tidak batalkan keputusan majisteret itu dan bebaskan Tian Chua. Apa kaitan dan relevannya soal pilihan raya kecil? Di sinilah kesalahan hakim mahkamah tinggi itu. Mungkin dia tidak baca dengan teliti peruntukan perlembagaan tadi walaupun beliau hendak mengelakkan pilihan raya kecil. Apa pun saya sudah katakan tadi, ini tak betul kerana tak ada kaitan. Kalau Tian Chua bersalah dia perlu dihukum; soal sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan atau tidak tidak ada kaitan. Kerana kesilapan hakim itu seluruh negara jadi kelam kabut sebab isu yang kecil ini. Kita semua jadi bodoh kerana membincangkan satu benda yang cukup jelas; yang tidak ada keraguan.
Apa yang menyebabkan kelam kabut ini timbul?
Pada saya mudah sahaja. Inilah yang berlaku apabila kehakiman sudah tidak bebas. Walaupun ada pihak yang akan menafikan, kita tahu, berdasarkan kes-kes yang dibawa ke mahkamah, undang-undang dibaca dengan pelik dan ganjil. Saya tidak fikir kita tidak tahu mengapa Tian Chua dibawa ke mahkamah. Dan kita tahu mengapa beliau disabitkan atas keterangan yang begitu dipersoalkan. Saya tak nampak logiknya Tian Chua menggigit anggota polis. Lainlah kalau kita memang anti Tian Chua dan sentiasa mencari jalan untuk membatalkan kerusi parlimen yang disandangnya.
Profesor menyebut kehakiman yang tidak bebas; boleh huraikan lebih lanjut khususnya dalam konteks kes Tian Chua ini.
Pertama bebas atau tidak itu adalah soal tanggapan, soal persepsi. Tetapi ini kita rumuskan berdasarkan apa yang berlaku di depan mata kita. Dalam kes Tian Chua ini seperti yang saya katakan tadi ia perlu diputuskan berdasarkan undang-undang; khususnya undang-undang jenayah dan undang-undang keterangan.
Bukan kerja hakim untuk mengatakan bahawa pilihan raya kecil patut diadakan atau tidak. Hakim patut mengelakkan dari dari meletakkan mahkamah dalam kontroversi. Sekarang ini kita lihat ada dua aliran; yang pertama kes-kes diputuskan dengan cara membaca undang-undang melalui cara yang ganjil dan luar biasa dan yang kedua kita lihat hasil akhirnya sering memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Saya tak fikir ini satu kebetulan. Semacam ada sesuatu yang dirancang. Apalagi bila undang-undang tidak dibaca dengan betul.
No comments:
Post a Comment