Tuesday, June 29, 2010

Tok Batin, ADUN Perak lawat Sarawak

BERNAMA



Lawatan rakyat dari Semenanjung ke Sarawak akan dapat "membuka telinga dan mata" para peserta untuk memahami kebudayaan dan cara hidup pelbagai kaum di negeri ini, sekaligus memperkukuhkan perpaduan negara.

Penasihat khas di pejabat ketua menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata Malaysia bukan sahaja dilimpahkan dengan kekayaan pelbagai sumber asli tetapi keunikan budaya dan warisan yang menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

"Rakyat Malaysia harus bersyukur kerana kita hidup aman dan mesra antara satu sama lain dan perbezaan kaum tidak harus menjadi satu masalah atau penghalang pembangunan negara tetapi menambahkan kekayaan negara.

"Jangan jadikan perbezaan kaum, budaya dan agama di kalangan rakyat Malaysia satu bahan pertelingkahan yang akan menjatuhkan negara kita. Biarlah ia menyatupadukan kita," katanya pada majlis makan malam, anjuran Kerajaan Sarawak sempena lawatan Tok-tok batin Orang Asli negeri Perak ke Sarawak, di Kuching, malam semalam.

Seramai 166 Tok Batin serta beberapa ADUN Perak melawat negeri Sarawak selama tiga hari, bermula Ahad.

Rombongan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Perladangan Negeri Perak, Datuk Sa'arani Mohamad melawat di sekitar bandar raya Kuching dan juga destinasi pelancongan seperti Kampung Budaya Sarawak.

Dalam ucapan balas, Sa'arani berkata lawatan ke Bumi Kenyalang akan menyuntik semangat kepada para peserta rombongan yang juga penghubung atau wakil kerajaan dengan rakyat setempat untuk mendokong hasrat kerajaan dan meneruskan keseinambungan pembangunan negara.


No comments: