KUALA LUMPUR: Usahawan Melayu digesa memainkan peranan untuk meningkatkan lagi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK).
"Meningkatkan sumbangan bererti meningkatkan produktiviti, meneroka teknologi baru dan memodenkan operasi," kata bekas presiden Bursa Saham Malaysia, Datuk Salleh Majid.
Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Hak dan Peranan Usahawan Melayu dalam Gagasan 1Malaysia" pada Konvensyen Usahawan Melayu anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di PWTC, di sini semalam, beliau berkata,
"Disebabkan sebahagian besar usahawan Melau adalah peniaga kecil, adalah penting bagi mereka untuk mewujudkan jaringan di kalangan mereka supaya mendapat manfaat dalam pelbagai aspek perniagaan seperti mengenalpasti peluang, meningkatkan ilmu pengetahuan, membantu menyelesaikan masalah sesama usahawan dan bergerak dalam kelompok yang jitu."
Salleh berkata, sikap jatuh menjatuhkan sesama usahawan perlu dikikis kepada saling bantu membantu dan yang sudah berjaya mempunyai peranan untuk membantu yang kurang berjaya dan yang lain.
“Usahawan Melayu juga harus peka dan responsif kepada dasar-dasar kerajaan. Salah satu tanda kejayaan sesebuah enterprais ialah keupayaannya melakukan dalam kerangka dasar yang ada.
“Mereka yang peka dan responsif kepada perubahan-perubahan ini dapat meletakkan diri mereka dalam kedudukan untuk meraih peluang yang ada,” katanya.
Pengiktirafan peringkat antarabangsa
Salleh berkata, usahawan Melayu wajar berusaha untuk mendapatkan sesuatu pengiktirafan yang diakui di peringkat antarabangsa seperti ISO untuk syarikat-syarikat mereka.
Katanya, persijilan halal juga perlu diambil berat dan difahamkan 80 peratus sijil halal dikeluarkan kepada syarikat bukan Islam.
Menurutnya, usahawan Melayu perlu sensitif dengan persekitaran sekeliling. Persekitaran ini terdiri daripada ekonomi, politik, perundangan, sosial, persaingan, sains dan teknologi.
Dalam persekitaran ekonomi, tambahnya, usahawan Melayu perlu mengambil tahu Model Ekonomi Baru dan tujuan meningkatkan pendapatan tahunan setiap rakyat daripada AS$7,000 (RM21,700) kepada AS$10,000 (RM31,000) dalam masa 10 tahun dan implikasinya.
“Kita juga tidak boleh tidak ambil tahu tentang pergolakan politik tempatan. Kuasa politik selalu digunakan untuk mendapatkan pengaruh dan mempengaruhi dasar-dasar kerajaan baik di kalangan parti pemerintah mahupun pembangkang. Banyak desakan dan tekanan dibuat melalui politik," jelas beliau.
“Dalam persekitaran undang-undang, setiap sesi parlimen undang-undang baru diperkenalkan atau dipinda. Sesiapa yang berniaga perlu ambil tahu perubahan-perubahan ini seperti harta intelek dan undang-undang berkaitan rasuah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan