Ahad, 16 Mei 2010

Azan Dakwa Wujud Penyelewengan Dalam Sime Darby Fri, May 14, 2010

Azan Oleh Fazy Sahir


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail hari ini mendakwa wujudnya penyelewengan wang dalam Sime Darby Bhd ekoran syarikat itu kini berdepan dengan masalah peningkatan kos sehingga RM1.8 bilion membabitkan kerja-kerja awam dan kejuruteraan di Qatar dan Empangan hidro elektrik Bakun.

Menurut beliau, penyelewengan tersebut berkait rapat dengan wang rakyat yang dilaburkan dalam Sime Darby, maka kerajaan secara langsung perlu mengambil tindakan tegas ke atas Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) itu.

"Ini bukan kesilapan baru tetapi ia sudah berulang banyak kali. Kerugian ditanggung bukan anggaran biasa tetapi negara kehilangan wang sebegitu besar ekoran penyelewengan dan rasuah yang berlaku,"

"Kita bimbang dengan peningkatan kos RM1.8 bilion siapa yang perlu bertanggungjawab? Yang jadi mangsa rakyat juga akhirnya," kata beliau ketika dihubungi Free Malaysia Today, hari ini.

Malah syarikat perladangan terbesar di dunia itu juga didakwa mendapat pinjaman dari Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), yang menerima caruman orang ramai, sebanyak RM4 bilion pada 2007 lalu.

Projek Bakun yang dijadualkan siap pada tahun 2007 kini tertangguh tarikh siap sehingga Disember tahun ini, katanya.

Maka beliau mahu agar punca masalah dikenalpasti dan tindakan segera perlu diambil kerajaan untuk menanganinya.

"Saya lihat anggaran belanjawan persekutuan 2010, pada tahun 2007/08 yang disahkan bahawa KWSP memberi pinjaman sehingga RM4 bilion kepada Sime Darby untuk membiayai projek terbabit.

"Kerajaan perlu ambil tindakan tegas kerana ia libatkan wang rakyat. Kerajaan tidak boleh berdiam diri perlu cari punca kepada masalah ini. Sudahlah pinjaman KWSP turut diambil, rugi pula tu…sekarang nak minta lagi kerajaan wang.

Dilaporkan sebelum ini, Sime Darby akan membuat peruntukan sebanyak RM964 juta ke atas keputusan separuh kedua tahun kewangan 2010 berikutan penangguhan menyiapkan projek terbabit.

Peruntukan RM964 juta ini meliputi kerugian sebanyak RM200 juta dari projek petroleum Qatar, RM159 juta dari projek Maersk Oil Qatar, RM155 juta dari projek untuk membina kapal dan RM450 juta dari kos penangguhan projek Bakun.

Tuntut RM700 juta dari kerajaan

Ekoran kelewatan siapnya projek Bakun, Sime Darby menuntut ganti rugi sehingga RM700 juta daripada kerajaan.

Tambah Azan, tidak logik sekiranya isu penambahan kos akibat wujudnya bencana alam kerana negara tiada gunung berapi, ombak besar dan sebagainya.

Beliau mendakwa kerugian (buat pertama kali dalam tempuh 20 tahun ini) serta penambahan kos itu berkait rapat dengan penyelewengan yang berlaku.

"Apa masalahnya? Penyelewengan wang berlaku, sebab kroni masing-masing nak dapat komisen dan bayaran. Inilah amalan yang masih membelenggu negara iaitu bayar lebih dari yang sepatutnya," ujar beliau.

Ekoran permasalahan itu, semalam dilaporkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid telah diminta bercuti sementara kontraknya berakhir hujung tahun.

Bernama hari ini melaporkan saham Sime Darby jatuh 40 sen atau lima peratus kepada RM8.25 di Bursa Malaysia serta mencatatkan mata terendah.

Kaunter saham Sime Darby hari ini dibuka pada harga RM8.23 berbanding harga sebelum dagangannya digantung pada harga RM8.65 dan berakhir hari ini dengan mencatat harga RM8.25 di mana 40.97 juta saham bertukar tangan.

Para analisa pasaran berkata kaunter ini adalah paling aktif yang menarik turun keseluruhan pasaran untuk tutup rendah 7.62 mata kepada 1,339.3 mata.

Tiada ulasan: