Jumaat, 14 Mei 2010

Undi Bumiputera penentu kemenangan di Sibu

KL POS


DI sebalik kehadiran ramai 'heavyweight', kedua-dua pihak Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, belum kelihatan jelas siapa yang bakal menang pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Ahad ini.

Ketika kempen masuk hari kelima semalam, suasana masih begitu tenang dan jauh berbeza berbanding senario panas di Hulu Selangor, biarpun pembangkang cuba menjaja isu 'kitar semula' yang digunakan di Hulu Selangor dalam kempen di Sibu.

Kempen BN bagi membantu calon, Robert Lau Jr diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal menyambut hari lahir ke-63, Sabtu ini, sehari sebelum pengundian.

Pada pihak pembangkang pula, bukan setakat Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, malah pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail, selain Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayob turut turun padang membantu calon mereka, Wong Ho Leng.

Persaingan juga lebih dilihat kepada usaha merebut sokongan pengundi Bumiputera, terdiri daripada 9,369 undi Melayu/Melanau atau 17 peratus dan 8,665 undi kaum Iban (15 peratus), selain 167 undi Orang Hulu, Bidayuh dan lain-lain, yang dikatakan bakal menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya itu.

Sokongan 36,494 pengundi kaum Cina atau 66 peratus pengundi Sibu, dikatakan masih 50-50 setakat hari kelima kempen, semalam, Pengundi Cina dikatakan sudah ‘membuat keputusan mereka’ mengenai calon pilihan masing-masing dan terpulang kepada parti bertanding untuk mempengaruhi keputusan mereka.

Begitu juga pengedaran risalah dan penggunaan blog sebagai senjata kempen oleh calon DAP, lebih menjurus ke arah memburukkan kerajaan BN dan janji retorik, tanpa menyebut sebarang agenda pembangunan jelas yang mampu dibawa mereka.

Slogan 'Jom Ubah' yang digunakan oleh Ho Leng dalam poster dan risalah yang diedarkannya juga ditempelak oleh penduduk tempatan sendiri yang mempersoalkan apakah yang mampu diubah oleh Ho Leng, kerana kalau dia menang sekali pun ia bukan akan mengubah kerajaan sedia ada.

Selain mengambil iktibar nasib penduduk di Bukit Assek, pengundi di Parlimen Sibu juga harus mengambil kira nasihat Timbalan Perdana Negeri supaya mereka memilih calon yang mewakili parti yang mempunyai agenda pembangunan yang jelas, bukan yang hanya pandai cakap, tetapi tidak boleh melakukan apa-apa jika menang.

"Kerajaan BN mengambil berat nasib semua kaum, sama ada Bumiputera, bukan Bumiputera, Islam dan bukan Islam. Namun sementara kita mengiktiraf peranan kaum Cina dalam membangunkan ekonomi negara, kita juga kena terima hakikat betapa kaum Bumiputera, Melayu dan Islam masih jauh di belakang," kata Muhyiddin yang mahu Bumiputera merebut peluang daripada pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB), ke arah mewujudkan keseimbangan antara kaum.

Tiada ulasan: