Jumaat, 14 Mei 2010

Sibu: "Undi BN, undi Najib" Joseph Salang

KL POS


Satu undi bagi calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu adalah satu undi sokongan bagi kepimpinan baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang.

Beliau berkata pilihan raya kecil kerusi itu pada 16 Mei ini merupakan satu lagi peluang penghuni rumah panjang Sarawak untuk menyatakan sokongan mereka kepada Najib.

Salang berkata demikian pada majlis pemimpin bersama rakyat di Rh. James Sembilan Guang di Bawang Assan dekat sini malam Isnin.

Beliau berkata Najib berhak mendapat semua sokongan yang diperlukan kerana beliau masih di dalam proses untuk mentransformasikan kerajaan dan negara ini.

Najib sedang berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi daripada status berpendapatan sederhana masa kini, kata Salang.

Katanya penghuni rumah panjang seharusnya tidak membiarkan diri mereka terpedaya dengan hasutan dan janji parti pembangkang kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai program kukuh untuk membantu masyarakat rumah panjang.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu menasihati para pengundi di Sibu agar keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Ahad ini dan memberi kemenangan besar kepada BN.

Dalam perkembangan lain, Salang berkata kerajaan akan mencari jalan untuk meningkatkan lagi hubungan komunikasi di kawasan Bawang Assan.

"Kami mungkin boleh mewujudkan satu pusat komuniti jalur lebar dan perkampungan 'wifi" di SMK Bawang Assan," kata beliau, memandangkan kawasan itu kini mempunyai jumlah penduduk agak besar dengan lapan rumah panjang dan dua sekolah.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Lau, calon DAP Wong Ho Leng dan calon Bebas Narawi Haron.

Tiada ulasan: