Oleh Dzulkarnain Taib
SIBU - Pakatan Rakyat menjangkakan SUPP-Barisan Nasional akan meningkatkan taktik politik kotor dalam tempoh 48 jam terakhir sebelum pengundian pada pilihan raya kecil Parlimen Bandar Sibu pada hari Ahad 16 Mei ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata menjelang hari mengundi SUPP-BN akan melakukan ugutan, gertakan dan keganasan terhadap Pakatan Rakyat terutamanya di kawasan Melayu-Melanau dan Iban.
"Mereka kini dalam ketakutan kerana melihatkan kepada peningkatan sokongan pengundi Sibu kepada calon DAP, Wong Ho Leng sebab itu mereka melancarkan taktik politik kotor.
"Kita tidak akan terlibat dalam apa-apa jenis taktik kotor seperti menggunakan isu tetapi apa yang kita mahu ialah pertandingan berhubung idea dan pelan undi rakyat Sibu," kata Guan Eng pada sidang akhbar harian di Pusat Media Pakatan Rakyat di sini pagi tadi.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata rakyat Sibu telah diabaikan sejak sekian lama oleh SUPP-BN tanpa menghiraukan kehidupan dan kemiskinan yang membelenggu rakyat di situ.
"Kita nak tanya macam mana Sibu sebagai bandar kedua terbesar di Sarwak hanya bertaraf Majlis Perbandaran walhal Miri mendapat status bandaraya. Ini jelas menunjukkan Sibu diketepikan daripada arus pembangunan oleh SUPP-BN yang hanya mementingkan keluarga dan kroni mereka sahaja.
"Sibu tidak banyak mendapat peruntukan daripada kerajaan. Adakah Perdana Menteri akan memberi RM18 juta kepada sekolah Cina tahun depan dan tahun seterusnya atau ini hanya sekali sahaja untuk memancing undi Cina. Pakar matematik meramalkan pilihan raya kecil di Sibu hanya akan berlaku sekali lagi dalam tempoh 100 tahun akan datang. Ini bermakna rakyat Sibu hanya mendapat RM180,000 untuk sekolah Cina setiap tahun untuk 100 tahun akan datang.
"Kalau di Hulu Selangor BN menjanjikan RM167 juta tetapi di Sibu tidak sampai RM30 juta seolah-olah dianaktirikan," kata beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan