SHAH ALAM : Kerajaan Selangor mengarahkan Ladang Lay Hong di Batu 20, Sungai Buloh supaya menghentikan aktiviti penghasilan baja organik dari najis ayam yang menyebabkan masalah bau busuk kepada penduduk sejak beberapa tahun lalu.
Kerajaan negeri akan membantu ladang itu membuang lebih 400 tan simpanan najis ayam bagi mempercepat pemberhentian aktiviti penghasilan baja dan operasi pembuangan dijangka selesai dalam tempoh sebulan.
Keputusan ini dibuat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang mengadakan mesyuarat semalam, selepas diberi taklimat oleh Pejabat Daerah, Jabatan Veterina, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak pengurusan ladang tersebut.
Mengikut kenyataan media yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar, mesyuarat MTES itu dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Kerajaan negeri berharap keputusan ini menyelesaikan masalah bau busuk yang membelenggu penduduk kawasan itu yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu dan gagal diatasi kerajaan terdahulu.
“Kita minta pihak ladang memberi kerjasama penuh untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh sebulan,” kata Khalid.
Beliau berkata, Kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas termasuk merampas tanah jika syarikat itu masih meneruskan aktiviti membuat baja organik dari najis ayam.
Sehubungan itu, Pejabat Daerah dan JAS akan memantau operasi ladang itu supaya semua arahan kerajaan negeri dipatuhi pengurusan ladang berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan