Rabu, 5 Mei 2010

RK Sibu: PAS Selangor bantu calon DAP

Oleh Roslan Shahir bin Mohd Shahir

Atas semangat setiakawan dan pakatan politik, PAS Negeri Selangor turut menghantar rombongan petugas parti bagi membantu calon DAP dalam kerja-kerja kempen sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Sarawak.

Adalah dianggarkan sepanjang tempoh kempen, bermula selepas proses penamaan calon pada hari Sabtu ini 8 Mei 2010, seramai 350 para petugas PAS Selangor akan berada di Sibu bagi memenangkan calon DAP. Mereka terdiri dari wakil kawasan-kawasan, Dewan-dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak. Markaz Besar PAS Negeri Selangor berada di Jalan Masjid di bandar Sibu.

Rombongan PAS Selangor diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Hasan Mohamed Ali yang juga ahli EXCO kerajaan negeri Selangor, Khairuddin Othman Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor dan Roslan Shahir Ketua Penerangan PAS Selangor.

PAS Selangor menjangkakan dengan gerak kerja yang tersusun dan berdisiplin serta sokongan kuat dari semua petugas Pakatan Rakyat, calon DAP Wong Ho Leng yang juga ADUN Bukit Assek mempunyai harapan cerah untuk merampas kerusi Parlimen berkenaan dari BN.

*Kenyataan media oleh Roslan Shahir bin Mohd Shahir, Ketua Penerangan PAS Selangor, Badan Perhubungan PAS negeri Selangor.

Tiada ulasan: