KUALA LUMPUR – Semua rakyat Malaysia di Bangkok dilaporkan selamat walaupun ibu kota Thailand itu berdepan dengan keadaan yang semakin meruncing ketika ini.
Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, walaupun Pusat Pelancongan Malaysia di negara Gajah Putih ditutup buat sementara waktu rentetan ketegangan itu, kerajaan memutuskan untuk terus membuka kedutaan di sana.
“Kedutaan Malaysia kini dibuka 24 jam supaya dapat memberikan bantuan kecemasan sekiranya ada rakyat kita yang terkandas atau berdepan dengan sebarang masalah.
“Kedutaan boleh membawa mereka keluar dari Bangkok atau menghantar mereka pulang ke tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pra perasmian kutipan dana untuk mengisi tabung Kelab Rotary Pudu menerusi tayangan amal filem Prince of Persia – The Sands Of Time anjuran bersama kelab tersebut dan syarikat Geox.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Pudu Rotary Club, Robin Tay dan Pengurus Jenama Geox, Sandy Kuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan