Selasa, 18 Mei 2010

26 kes baru H1N1 dilaporkan

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Sebanyak 26 kes baru selesema babi atau influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga pukul 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kini adalah sebanyak 14,411 kes.

Selain itu, jumlah kes penyakit serupa influenza (ILI) yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 629 kes.

Daripada jumlah itu, 67 kes iaitu 10.7 peratus disahkan positif H1N1 manakala bilangan yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 11 kes dengan lapan daripadanya mempunyai faktor risiko.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, kementeriannya menerima satu laporan kejadian kluster ILI di Tadika Usaha Junior, Kuala Kurau, Perak.

"Sehubungan itu, kementerian ingin mengingatkan penularan jangkitan ini cukup mudah berlaku di tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak.

"Bagi mengekang penularan ini secara efektif, mereka yang mempunyai gejala ILI dinasihatkan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai dan segera mendapatkan pemeriksaan perubatan di klinik-klinik berhampiran," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Ismail berkata, mereka yang mempunyai simptom itu perlu sentiasa memakai penutup hidung dan mulut jika terpaksa keluar dan berhubung dengan orang lain bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu lain.

Katanya, masyarakat juga boleh membantu dengan melaporkan kejadian kluster ILI ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini H1N1 serta maklumat pusat kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian boleh melayari laman web www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my.

Tiada ulasan: