Selasa, 4 Mei 2010

PRK Sibu : ‘PCM akan hilang deposit’

Oleh Era Pakatan

KUALA LUMPUR : Calon Parti Cinta Malaysia (PCM) akan hilang deposit jika parti itu meneruskan hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Sibu akan datang.

Demikian penjelasan seorang penganalisis politik dari negeri Sarawak berhubung desas-desus parti itu akan bertanding pada PRK tersebut.

Menurutnya, jika PCM tetap dengan niatnya, beliau mengibaratkannya perbuatan itu sebagai menangguk di air yang keruh.

“Saya dengan tidak segan silu mengatakan PCM akan hilang wang pertaruhan jika mereka bertanding juga di parlimen tersebut,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa kawasan parlimen tersebut bukanlah gelanggang yang sesuai bagi PCM untuk mempertaruhkan calon mereka sebaliknya ia merupakan gelanggang sebenar bagi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan juga Parti Tindakan Demokratik (DAP) merebut kerusi panas itu.

“Jika betul mereka (PCM) bertanding di kawasan itu nanti, ia hanya akan dianggap ‘kacau daun’.

Bukan satu masalah besar bagi DAP dan SUPP mengenepikan PCM,” ujarnya lagi sambil menyatakan kesan dan impak PCM terhadap pengundi-pengundi di Sibu tidak akan berhasil kerana kewujudan parti tersebut yang masih belum dikenali di negeri itu.

Beliau juga mengatakan bahawa sejarah pertarungan kedua-dua parti iaitu SUPP dan DAP haruslah menjadi penentu ukur bagi PCM sebelum berniat meletakkan calon di konstituensi Sibu.

“Saya percaya ia akan menjadi kerusi parlimen yang paling sengit antara DAP dan SUPP,” katanya.

Penganalisis politik itu yang berasal dari Mukah, Sarawak itu turut menjelaskan, walaupun pola pengundian di kawasan parlimen tersebut adalah majoritinya berbangsa Cina, namun ia bukanlah satu pertaruhan yang cukup bernas bagi PCM untuk meletakkan calon berbangsa Cina.

“Saya tidak fikir rakyat yang berada di dalam konstituensi Sibu akan termakan dengan umpanan seumpama itu,” tambahnya.

PCM melalui pengerusi parti tersebut, Gabriel Adit Demong dalam sebuah akhbar tempatan di Sarawak awal April lalu menyatakan pertimbangan bahawa kemungkinan parti tersebut akan bertanding di kerusi Parlimen Sibu selepas kerusinya dikosongkan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau pada 9 April lalu.

Pada PRK kali ini, calon Pakatan Rakyat (PR), Richard Wong Ho Leng (gambar kiri) yang juga Ketua PR di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan ditentang oleh calon yang tiada pengalaman sebagai wakil rakyat dari BN, Robert Lau.

Tiada ulasan: