Khamis, 13 Mei 2010

Polis Peringat Jangan Main Isu Agama

BERNAMA

SIBU: Parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu sekali lagi diperingatkan supaya tidak menyentuh perkara-perkara berkaitan agama dalam kempen mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata penduduk di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai masalah agama dan mempunyai sikap toleransi yang tinggi dan agama bukan merupakan isu di kalangan penduduknya.

"Saya tidak mahu orang luar datang ke sini hasut isu agama. Kalau mereka lakukan demikian, kita akan ambil tindakan tegas.

"Walaupun tiada laporan dibuat, kita akan pantau dan kita tahu siapa yang biasanya terlibat dalam perkara seperti ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Polis bagi pilihan raya tersebut di Kem Pasukan Gerakan Am Lanang, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai persiapan pihak polis, Musa berkata persiapan teliti telah dibuat dan percaya pilihan raya kecil tersebut akan berjalan dengan licin tanpa sebarang masalah.

"Dari segi kempen pilihan raya, ia berjalan dengan lancar dengan hanya tujuh laporan polis dibuat, yang kebanyakannya berkisar dengan soal tampal poster dan tidak ada sebarang laporan mengenai kes pergaduhan," katanya.

Sejumlah 1,800 pegawai dan anggota polis telah ditugaskan bagi memastikan pilihan raya kecil Sibu berjalan lancar pada 16 Mei ini.

Tiada ulasan: