KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 1 Julai untuk pengurusan kes saman RM10 juta Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh terhadap Utusan Melayu (M) Sdn Bhd berhubung artikel berbaur fitnah tentang komennya mengenai Islam.
Tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Anisah Normah Muhammad Nor.
Karpal Singh diwakili Peguam Sangeet Kaur Deo dan M. Mohana Kumar pula untuk Utusan Melayu.
Dalam kenyataan tuntutannya, Karpal mendakwa artikel bertajuk "DAP Diingat Jangan Bakar Perasaan Melayu", yang disiarkan pada 25 Ogos 2008, oleh Utusan Malaysia, menyebut bahawa beliau membuat kenyataan mengenai Islam dalam ucapan alu-aluannya pada Kongres Kebangsaan DAP kali ke-15 yang diadakan pada hari sebelumnya.
Menurut Karpal, yang juga seorang peguam, perkataan yang didakwa berbaur fitnah itu difahami membawa maksud, antara lain, beliau seorang ahli politik yang cenderung untuk mewujudkan pergeseran dalam kalangan masyarakat berlainan kaum di negara ini, sama sekali adalah palsu dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan kerjaya profesional serta politik beliau.
Pengerusi DAP kebangsaan itu berkata beliau secara konsisten menegaskan dalam ucapan umum dan sebagai seorang Anggota Parlimen di Dewan Rakyat sejak 26 tahun lepas bahawa Islam adalah agama rasmi negara ini seperti yang diperuntukkan mengikut Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau memohon RM10 juta ganti rugi umum, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Utusan Melayu, dalam kenyataan pembelaannya yang difailkan pada 3 Nov 2008, berkata pernyataan maaf yang disiarkan oleh akhbar itu diterima oleh Karpal Singh sebagai memenuhi surat tuntutannya.
Ia mendakwa perkataan yang dibantah oleh Karpal Singh itu dimuatkan dalam artikel berkenaan akibat salah faham/kekeliruan dan ia merupakan kesilapan yang tidak disengajakan.
Selain itu, ia turut mendakwa artikel berkenaan disiarkan dengan berniat baik dan ikhlas tanpa sebarang niat jahat terhadap Karpal Singh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan