Khamis, 20 Mei 2010

Najib: Utusan perlu berubah kekal relevan



KUALA LUMPUR— Utusan Malaysia, produk terbitan kumpulan media milik Umno, perlu melakukan perubahan jika mahu kekal relevan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Sehubungan itu Najib yang juga Presiden Umno berkata, akhbar-akhbar terbitan kumpulan tidak seharusnya menjadi organ yang mencerminkan pendirian parti itu semata-mata.

“Saya faham berita-berita sensasi jual... khususnya yang berkaitan seorang individu itu,” kata beliau, dipercayai merujuk kepada serangan berterusan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan bekas timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

“Tetapi anda juga mesti menjadi medium untuk membina budaya intelek, masyarakat yang kritikal,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) ini.

Perdana Menteri (gambar) menyempurnakan majlis pecah tanah bangunan baru Kumpulan Utusan di Jalan Chan Sow Lin di sini pagi ini.

Selain Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Kumpulan Utusan turut menerbitkan sejumlah majalah dan akhbar harian tabloid Kosmo.

Sejarah Kumpulan Utusan memulakan operasinya di Singapura sebagai Utusan Melayu Pte Ltd, dengan terbitan akhbar Jawi, Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Tiada ulasan: