Khamis, 20 Mei 2010

Tindakan disiplin: Mugilan hairan Samy pesong isu


KUALA LUMPUR — Selain mempertikaikan tindakan Datuk Seri S. Samy Vellu akan menghadapkannya kepada jawatankuasa disiplin yang dilihat cuba memesongkan isu, Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan juga menyifatkan keputusan Presiden MIC itu sebagai “tidak adil”

Kata Mugilan, beliau membangkitkan isu pelan peralihan kuasa sedangkan Samy Vellu pula mahu menggunakan pilihan raya kecil kerusi Parlimen lebih tiga minggu lalu sebagai alasan untuk mengambil tindakan disiplin ekoran desakannya semalam.

Jika sabit kesalahan, jawatankuasa disiplin boleh mengenakan hukuman amaran, gantung keahlian ataupun dipecat dari parti ke atas Mugilan (gambar).

“Saya berpendapat dakwaan Datuk Seri Samy bahawa saya bertindak bertentangan dengan kepentingan parti adalah tidak adil,” kata Mugilan dalam responsnya kepada dakwaan Samy Vellu semalam beliau bertindak bertentangan dengan kepentingan MIC dan Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor.

“Bila pilihan raya kecil Hulu Selangor diadakan? Sekarang sudah berapa minggu? Minggu lepas mereka mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (MIC), tetapi tidak dibincangkan... jadi mengapa sekarang?

“Ini yang menimbulkan persoalan... saya pun hairan dengan kenyataan beliau,” kata Mugilan yang awalnya disebut-sebut akan menjadi calon BN bertanding di Hulu Selangor pada 25 April.

Bagaimanapun pencalonan nama beliau kepada pucuk kepimpinan BN telah dibantah keras oleh Samy Vellu dan sebahagian besar pemimpin MIC.

Mugilan menambah, Samy Vellu pernah memberitahunya agar melupakan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada situasi sukar dialami MIC sehingga pemilihan calon dimuktamadkan.

Samy Vellu mencadangkan nama timbalannya Datuk G. Palanivel tetapi dibantah oleh Umno dan BN sehingga ia menimbulkan rasa tidak senang di pihak pemimpin veteran itu.

“Datuk Seri Samy Vellu sendiri memberitahu saya perkara ini di pejabat MIC Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru, dan perkara ini juga disiarkan oleh media... jadi mengapa sekarang mengatakan hendak mengambil tindakan disiplin berhubung isu Hulu Selangor.

“Jika saya bertindak bertentangan dengan kepentingan MIC dan BN, saya menganjurkan satu majlis pertemuan rakyat, yang dihadiri kira-kira 1,000 orang di Kerling, di mana Samy Vellu sendiri hadir. Apakah ini juga bertentangan dengan kepentingan BN dan MIC?” kata Mugilan lagi.

Mugilan yang juga Ketua Pemuda MIC memberitahu, beliau akan “melawan habis-habisan menghadapi kes ini jika saya dirujuk kepada jawatankuasa disiplin.”

“Saya akan membawa saksi utama pemimpin-pemimpin utama BN untuk menjadi sebagai saksi saya... saya mempunyai saksi untuk menyokong bahawa saya memang dari awal hingga akhir membantu kempen BN,” tambah Mugilan.

Sehubungan itu, Mugilan menyoal “apakah P. Kamalanathan, calon yang diletakkan MIC boleh menang tanpa kerja keras saya?”

“Saya sendiri berkempen menaikkan undi untuk BN di saluran tiga dan empat. Bukannya ini membantu calon MIC dan BN?

“Sekarang Datuk Seri Samy Vellu sudah lupa apa yang beliau cakap,” katanya.

Kira-kira empat jam selepas Mugilan meminta Samy Vellu berundur dengan serta-merta sebagai Presiden MIC, pemimpin veteran itu mengeluarkan kenyataan bahawa Timbalan Ketua Pemuda MIC itu akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin kerana melanggar kepentingan parti pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April lalu.

Sebenarnya Mugilan bertindak melulu dan mendahului keputusan parti untuk mengambil tindakan ke atasnya kerana melanggar kepentingan BN pada pilihan raya Hulu Selangor, kata beliau.

Samy Vellu mendakwa Mugilan merupakan salah seorang yang telah menentang BN dalam pilihan raya kecil selepas gagal dalam usaha untuk dipilih sebagai calon,” kata Samy Vellu.

Samy Vellu berkata Mugilan bertindak sebagai bahan jenaka untuk “sesetengah orang”, dan menghalang Palanivel daripada bertanding semula bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil itu.

Pencalonan Mugilan bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor dilaporkan disenangi pemimpin BN tetapi pencalonannya dibantah oleh MIC, yang membawa kepada BN memilih Kamalanathan yang akhirnya memenangi kerusi itu.

Dalam kenyataannya itu, Samy Vellu berkata keputusannnya untuk mengosongkan jawatan presiden lebih awal daripada Mei 2012 dibuat “atas kerelaan saya sendiri dan saya tidak didesak oleh oleh sesiapa atau mana-mana kumpulan”.

Mugilan melahirkan desakan itu tidak sampai 24 jam selepas Samy Vellu mengumumkan rancangannya untuk berundur pada suku ketiga tahun depan.

Tiada ulasan: