Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyeru semua ahli Dewan Muslimat negeri, kawasan dan cawangan agar menaikkan kain rentang (banner) mengucapkan ’Selamat Menyambut Hari Guru’ bagi meraikan barisan pendidik serta mengiktiraf pengorbanan mereka selama ini. Pengerusi Lajnah Pendidikan DMPP, Wardatul Jannah As-Soffea berkata, perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan. “Justeru, pengiktirafan untuk para pendidik amat perlu untuk membangkitkan momentum perjuangan ke arah mendidik masyarakat demi mencari keredhaan Ilahi,” ujarnya dalam kenyataan yang dimuatkan di dalam laman web DMPP hari ini. Beliau menambah, berazimatkan firman Allah di dalam Surah al-Maidah, ayat 56, yang bermaksud: Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang", maka lajnah itu ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru kepada semua barisan pendidik dan tenaga pengajar di seluruh Malaysia khususnya yang menjadi aktivis parti demi menjana modal insan yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang. Di samping itu, tambahnya, sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan motivasi bekerja di kalangan pendidik agar sentiasa sedar betapa murninya tanggungjawab mereka dalam menggalas cabaran pendidikan semasa. Jelasnya lagi, tema yang dipilih di peringkat Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat ialah 'Pendidik Pencetus Transformasi Modal Insan' ini dipilih berdasarkan hasrat untuk melahirkan generasi yang seimbang dari aspek spiritual, intelektual, emosi dan fizikal melalui sistem pendidikan yang bersifat holistik dan global. Menurutnya, di tangan para gurulah, terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem ‘pendidikan rabbani’. |
Jumaat, 14 Mei 2010
Naikkan kain rentang Selamat Menyambut Hari Guru
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan