Setiap pagi Ahad, selain mendapatkan perkembangan berita-berita semasa di akhbar tempatan, saya akan beri perhatian kepada tulisan para pengulas dan penganalisa politik di akhbar-akhbar berkenaan. Sudah pastilah kumpulan pengampu dan propogandis paling ramai di akhbar-akhbar media perdana berbahasa Melayu.
Di situlah para penulis cari makan akan mengagung dan mendewa-dewakan pimpinan mereka, semuanya suci bersih dan geliga belaka, manakala lawan mereka semuanya kotor, hodoh dan dungu. Kesian contoh akhbar Utusan Malaysia, dari Utusan Melayu bawah teraju Said Zahari satu ketika dahulu yang berani, tegas dan benar, kini menjadi tekukur, mengangguk dan menyanyi-nanyi menurut petikan jari tuannya.
Apa pun saya kenali beliau terutama semasa menjadi Setiausaha Akhbar Presiden PAS dahulu dan masih menjalin hubungan sebagai rakan sehingga kini.
Hari ini Joceline menulis berkenaan pengundi Melayu di bawah tajuk “Greater shift in the Malay vote” http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/5/23/focus/6306114&sec=focus
dimana beliau membongkar bahawa dalam pada kita memperkatakan darihal lonjakan sokongan pengundi Cina khasnya terhadap Pakatan Rakyat, sesungguhnya para pengundi Melayu pun sebenarnya sudah mula melangkah beralih kepada PR samada disedari ataupun tidak.
Kebetulan saya rasa inilah “point” yang cuba saya hujahkan dalam posting saya yang lalu bertajuk “Jangan perlekeh keupayaan orang Melayu” di blog ini: http://n32.blogspot.com/2010/05/jangan-perlekeh-keupayaan-orang-melayu.html
Kata Joceline peralihan sokongan orang Melayu ini paling ketara jika dilihat pada lonjakkan sokongan yang diterima oleh PAS. Undi PAS bertambah lebih tiga kali ganda dari tahun 1990 apabila ia hanya menerima 376,000 undi kepada 1.1 juta dalam tahun 2008.
Ini bermakna cara politik lama sudah tidak termakan atau semakin ditolak oleh orang Melayu. Politik kain batek, politik subsidi,politik janji dan wang ringgit semasa kempen pilihanraya semakin memakan diri berbanding dengan memberi sokongan kepada BN sebagaimana satu waktu dahulu.
Orang Melayu sebagaimana rakan-rakan-rakan mereka orang Cina juga mahukan pimpinan yang berkualiti. Pemimpin yang boleh dipercayai, yang memperjuangkan nasib mereka secara tulus dan ikhlas, tidak rasuah, bermoral tinggi semuanya kulaiti yang semakin asing dan jauh dari barisan pimpinan Umno pada hari ini, samada diakui ataupun tidak.
Kerana itu kita jangan sekali-kali menghukum pengundi Melayu sebagaimana orang-orang Umno menghukum pengundi-pengundi Cina bila menolak mereka di Hulu Selangor dan Sibu. Jika tepatlah analisa dan bacaan Joceline bermakna pengundi Melayu berpotensi bangkit sekali secara menyeluruh menolak Umno, syaratnya kita kena berusaha dan bekerja kuat menawan hati mereka.
Saya ambil contoh di Sibu. Semasa DAP bersendirian dahulu,sukar bagi mereka masuk dan berinteraksi dengan para pengundi Melayu khasnya di DUN Nangka. Tetapi dalam tempoh 10 hari, dengan kehadiran para petugas PAS dari seluruh negara, mereka berkampung di DUN Nangka, orang-orang Melayu/Melanau di sana mula membuka pintu pada PR.
Walaupun pintu itu belum lagi dibuka seluas-luasnya namun kesannya dapat dilihat. Di Daerah Mengundi Illir Nangka walaupun BN menang di semua peti undi, namun dengan kehadiran PAS undi DAP bertambah lebih 10 peratus. Ia mungkin kecil tetapi ia suatu petanda yang sangat positif. Illir Nangka adalah daerah mengundi jauh di Sibu, ia bukan Seri Serdang atau Taman Templer di tengah-tengah bumi Selangor!
Orang Melayu memang sudah bangkit menolak BN dalam PRU ke 12 lalu, cuma tahap lonjakkannya berbeza-beza dari satu daerah ke satu daerah dan dari satu negeri ke satu negeri. Dalam erti kata lain belum betul-betul menyeluruh. Di Selangor sahaja buktinya Dato Dr Hasan Ali menang di DUN Gombak Setia yang majoriti pengundi Melayunya 80.3 peratus dengan kelebihan 2,797 undi (calon BN dahulumenang dengan majoriti 2,728). Di DUN Sabak yang majoriti pengundi Melayunya 79.7 peratus,Ustaz Sallehen Mukhyi dari PAS tewas dengan majoriti 117 undi (calon BN dahulu menang dengan majoriti 2,256 undi).
Kesimpulannya pengundi Melayu memang telah bangkit dan insyallah berpotensi bangkit lebih besar lagi kerana mereka peka danmelihat apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kata Joceline pakatan antara PAS,DAP dan PKR kelihatan lebih meyakinkan rakyat. Masing-masing bertolak-ansur dan boleh bekerjasama dengan baik demi kepentingan rakyat.
Bagi saya pengundi-pengundi Cina telah memberikan paku terakhir buat keranda MCA dan Gerakan. Mereka tidak kelihatan akan mahu memeluk kembali BN dalam waktu terdekat ini. Keberkesanan kepimpinan kerajaan PR di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan terus meyakinkan mereka.
Begitu juga para pengundi Melayu. Mereka dapat melihat kesungguhan PAS dalam memperjuangkan nasib dan masa depan Islam dalam negara selain menjadikan PR sebagai wadah terbaik untuk memimpin dan memperjuangkan nasib dan kebajikan umat Melayu yang berbeza sama-sekali dengan”style” dan kaedah Umno.
Saya yakin bahawa sedikit demi sedikit para pengundi Melayu akan semakin sedar dan celik. Tidak mustahil tsunami yang lebih besar akan melanda dalam PRU ke 13 nanti, dan ianya sumbangan dan bikinan tangan orang-orang Melayu selain rakan-rakan bukan Melayu yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan