KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang meminta media arus perdana mahupun media alternatif dapat bekerjasama menyampaikan berita perbahasan Dewan Negara secara telus.
Menurutnya, tanggungjawab yang diberikan kepada media massa haruslah dimanfaatkan sepenuhnya supaya berita-berita sensasi yang berlaku dalam Dewan Negara ditapis dengan cermat sebelum disiarkan.
Beliau berkata, "saya berharap media dapat memberi kerjasama dalam menyampaikan berita mengikut konteks perlembagaan supaya penyebaran berunsur fitnah dapat dielakkan.
"Media perlu menyampai berita yang tepat dan benar supaya tidak wujud penilaian bertentangan dari rakyat terhadap senator- senator yang membahaskan ucapan," katanya semasa sidang media bersama pemberita di dewan taklimat parlimen hari ini.
Tegas beliau, jika media gagal menyampaikan laporan berita yang tepat berkaitan perbahasan Dewan Negara, perkara tersebut mampu mencetuskan kontroversi yang memudaratkan banyak pihak.
"Banyak perbezaan di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan diharap media tidak salah tafsir perbahasan yang diutarakan," ujar beliau.
Speaker Dewan Negara itu juga berkata, "media yang tidak menyampaikan berita berunsur fitnah amat dihargai dan diharap media akan terus menyampaikan laporan yang benar berkaitan sidang perbahasan dewan kali ini."
Bincang agenda-agenda utama
Menyentuh isu lain, Abu Zahar berkata, senator-senator yang diberi kepercayaan untuk membincangkan agenda-agenda utama perlulah membahaskan isu yang memberi kepentingan kepada negara tanpa bersikap emosional seperti perbahasan di Dewan Rakyat.
"Senator yang berpengalaman akan membahaskan isu-isu untuk kepentingan umum dan bukan mengikut emosi hingga menimbulkan kekecohan," terang beliau.
Beliau berkata, "saya berpuas hati dengan prestasi senator yang hadir kerana berfikiran positif tanpa melibatkan isu politik dan sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada penyelesaian isu semasa.
"Ucapan yang dibahaskan oleh para senator dalam dewan amat bernas dan berguna untuk dibincangkan bersama," tambahnya.
Speaker juga meminta agar semua pihak yang terlibat dalam sidang perbahasan Dewan Negara memain peranan masing-masing demi kebaikan rakyat dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan