Saiful Bukhari Azlan hari ini selesai memberi keterangan utama untuk pihak pendakwaraya pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sekali lagi Saiful cuba memberi gambaran beliau adalah mangsa dan bukannya Anwar.
Saiful berkata beliau bertekad meletak jawatan sebagai pembantu Anwar kerana tidak mahu diliwat lagi.
Namun Saiful kemudian mengaku beliau menerima pertolongan daripada Anwar dan terus bekerja dengan Ketua Pembangkang itu tanpa di paksa.
Saiful juga mengaku tidak berterus terang dengan Anwar mengenai pertuduhannya itu sebagai punca dia mahu berhenti kerja.
Sebaliknya beliau tetap menerima tawaran Anwar untuk mendapatkan penaja bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajarannya.
Perbicaraan hari ini bersambung secara terbuka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saiful menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang karismatik dan menjadi idolanya ketika beliau membesar.
Beliau juga menceritakan bagaimana beliau diambil kerja oleh Anwar dan di berikan ruang pejabatnya sendiri.
Namun Saiful berkata beliau menghantar surat letak jawatan kepada Anwar pada Mac 2008 kerana kononnya tidak mahu menjadi mangsa liwat.
Saiful mengaku beliau hanya memberitahu Anwar beliau tidak berkelayakkan dari segi akademik dan tidak berdisplin.
Menurut Saiful Anwar menawarkan untuk mendapatkan bantuan bagi membantunya melanjutkan pelajaran.
Saiful berkata beliau menerima tawaran itu dan terus bekerja dengan Anwar kerana kononnya beliau takut untuk menolaknya.
Saiful terus memberikan keterangan dengan butir-butir mengaibkan hari ini. Contohnya beliau mendakwa tidak dapat membuang air besar selama dua hari setelah di liwat.
Sekali lagi, wartawan tempatan dan antarabangsa diperagakan bahan bukti oleh pendakwaraya, antaranya seluar dalam, baju dan KY Jelly.
Kesahihan keterangan Saiful itu akan diuji oleh panel peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila perbicaraan bersambung Isnin ini.
Antara lain ialah tentunya ialah kenapa Saiful menunggu 48 jam untuk ke hospital selepas di dakwa di liwat.
Peguam juga dijanga bertanya kenapa Saiful rela terus bekerja dengan Anwar walaupun mendakwa beliau tidak rela menjadi mangsa liwat dan mahu berhenti kerja.
Peguam Jonson Chong berkata keterangan Saiful sejak tiga hari lalu menimbulkan banyak persoalan namun bertujuan semata-mata untuk mengaibkan Anwar.
“Biasanya pendakwaraya sendiri dia akan melindungi mangsa yang melibatkan seks, tetapi dalam kes ini dia biarkan keterangan diberi di hadapan semua media dan sebagainya. Sebaliknya peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu membuat permohonan melindungi beliau dari semua fitnah yang dikeluarkan dalam mahkamah dan kita tidak boleh sekat.
“Diantara bahan-bahan yang dikeluarkan sebagai keterangan adalah bahan yang digunakan untuk pemeriksaan saksi pertama iaitu Saiful Bukhari dan juga pakaian yang dia pakai sama ada pada masa dia buat laporan polis ataupun semasa kejadian.
“Apa yang saya nampak seolah-olah pendakwa raya menggunakan beberapa bahan yang bukan sensitif atau kontroversi tetapi agak menimbulkan emosi yang tidak selesa seperti seluar dalam dan K-Y Jelly (cecair pelincir) dan sebagainya. Semua ini orang akan teringat benda lain,”katanya.
“Persoalan-persoalan ketepatan, kebetulan dan kebenaran tidak menjadi pegangan. Skrip hanya diubah untuk yakinkan rakyat bahawa Anwar memang buat perkara itu. Tapi niat yang utama adalah untuk mencalar balarkan maruah Anwar dan kelurga,” kata Naib Presiden Pas Mahfuz Omar.
Dalam pada itu, Perbicaraan hari ini sekali lagi beralih ke di Kondominium Desa Damansara.
Lawatan rombongan mahkamah kali ini adalah untuk meninjau lokasi kamera litar tertutup yang merakamkan orang yang keluar masuk kondominium mewah itu.
Tepat jam 12 tengahari, tujuh buah kereta dan dua buah van Polis tiba membawa rombongan barisan pendakwaraya yang diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal AbidinDatuk, Hakim, Datuk mohamad Zabidin Mohd Diah dan pengadu, Saiful Bukhari Azlan.
Sejurus kemudian, Anwar dan barisan peguamnya tiba ke lokasi disusuli ketua pasukan pembelaan, Karpal Singh bagi meneliti lokasi kamera litar tertutup (CCTV) yang dijadikan bukti oleh pihak pendakwaraya.
Kawasan pondok pengawal dan laluan masuk ke kodominium berkenaan diawasi puluhan anggota polis termasuk Unit Cawangan Khas.
Lawatan yang dipohon pihak pembelaan itu mengambil masa kira-kira 30 minit.
Kira-kira pukul 12.45 tengahari, Hakim Zadibin meninggalkan lokasi disusuli oleh anggota rombongan lain.
Utusan Malaysia terus membuat laporan yang dilihat memfitnah Anwar walaupun akhbar itu di tegur oleh hakim perbicaraan semalam.
Namun Hakim Mohamad Zaibin Mohd Diah masih enggan mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan.
Akhbar itu hari ini menyiarkan pula gambar-gambar dengan berita yang tidak berpaut kepada fakta kes.
Semalam, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat membuat laporan polis terhadap Utusan kerana dikatakan menyiarkan laporan ini yang dilihat bersifat fitnah bersabit keterangan Saiful.
Hari ini pula Utusan menyiarkan gambar-gambar katil dan tilam di kondominium dengan fakta yang tidak berpaut kepada keterangan mana-mana pihak.
Gambar-gambar ini diambil oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia dan disebarkan kepada semua media asing walaupun secara umumnya wartawan dan jurugambar lain tidak dibenarkan masuk ke kondominium berkenaan.
“Tetapi keterangan gambar dari mana Utusan sendiri boleh dapat, dia tidak tahu apa yang dikatakan oleh Saiful semasa itu, tiada wartawan di dalam bilik itu, tetapi dia sanggup menulis keterangan gambar apa yang dikatakan Saiful Bukhari kepada hakim dan sebagainya.
“Jadi ini jelas konspirasi yang melibatkan Umno iaitu tuan punya Utusan Malaysia dan mungkin Perdana Menteri.
“Mengapa ini boleh dibuat oleh Bernama dan bersengkokol dengan Utusan Malaysia di nama saya nampak ramai media lain tidak guna kerana mereka tiada di situ sendiri. Tetapi yang khususnya Utusan Malaysia terbitkan di muka depan dengan banyak keterangan gambar yang tidak betul,”katanya.
Peguam Anwar Sankara Nair berkata selain Utusan, Sinar Harian turut melakukan kesalahan serius dengan memberi fakta salah bersabit gambar-gambar di muka depannya.
“Kami sebagai peguam telah membantah dan memohon kepada mahkamah satu amaran keras diberikan kepada Utusan dengan Sinar Harian yang telah menyiarkan gambar bersama berita tersebut.
“Walaubagaimanapun mahkamah telah menolak dan kami tidak puas hati dengan keputusan mahkamah.”
Beliau berkata mahkamah perlu mengeluarkan satu amaran keras kepada media tersebut memandangkan ianya disalah laporkan.
“Ini masanya yang sudah berlaku di sini, ini adalah menghina mahkamah dan juga sesuatu kesalahan di bawah akta media cetak dan publikasi,” katanya. -Yusmawati Mhd Yusof/Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz (Detik 9 TVS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan