Angkatan Muda Keadilan Selangor menolak keputusan kerajaan pusat untuk membina loji reaktor nuklear yang bakal beroperasi menjelang tahun 2021. Kebenaran untuk meneruskan cadangan ini dilihat oleh AMK Selangor satu ancaman amat kritikal terhadap keselamatan rakyat dan negara.
AMK Selangor menyatakan sokongan padu dan mantap keputusan kerajaan Selangor untuk tidak membenarkan sebarang pembangunan reaktor nuklear di Selangor. Malahan kerajaan negeri Selangor menyarankan agar digerakkan pembangunan tenaga alternatif lain yang lebih selamat, mesra alam dan produktif.
Pembinaan loji nuklear lebih memberi ancaman kepada alam sekitar kerana pengurusan sisa buangan bahan radioaktifnya sukar dikendalikan. Hujah mengatakan ia adalah berkos rendah ditolak kerana kerajaan perlu belajar daripada tragedi hitam 26 April 1986 apabila Loji Nuklear Chernobyl meletup dan menyebarkan radioaktif. Impak kesannya sehingga kini terus memudaratkan kesihatan manusia dan memusnahkan alam sekitar yang memberi kerugian yang terlalu tinggi.
Kerajaan pusat sebelum memberi kebenaran ini sewajarnya mengambil pendapat rakyat dan pakar-pakar pelbagai bidang sebelum apa-apa keputusan diambil. Trek rekod mutakhir kini terhadap beberapa bangunan dan stadium yang retak dan runtuh menjadi igauan ngeri rakyat. Pembinaan reaktor nuklear ini dilihat sebagai "bom jangka" yang meletakkan rakyat dan negara dalam situasi keselamatan masa hadapan yang amat kritikal dan mencemaskan.
Kita percaya pelbagai sumber tenaga alternatif lain boleh dibangunkan dan sesuai di negara ini seperti tenaga solar, tenaga angin, biomas dan teknologi baru yang lain. Permintaan mendadak terhadap sumber tenaga di masa hadapan boleh diatasi dengan memperkenalkan sistem penjimatan dan pengurusan tenaga yang efektif kini. Penyelidikan dan pembangunan berterusan perlu digiatkan bagi memastikan sumber tenaga alternatif yang lebih selamat dan sesuai dapat dibangunkan di negara ini.
*Kenyataan media oleh Mohd Ezli Mashut, selaku Ketua Penerangan AMK Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan