Oleh Sidiqin Omar
SHAH ALAM- Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki menyifatkan Umno semakin hipokrit kerana menyogok parti sekutunya MCA menggunakan wang rakyat sebagai usaha mengembalikan sokongan masyarakat Cina yang menolak Barisan Nasional dalam PRU-12 yang lalu.
Beliau menganggap tindakan kerajaan BN Perak yang mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM50,000 kepada setiap bahagian MCA bagi tujuan pembangunan merupakan satu tindakan yang menyalahi peraturan.
"Apa kewajaran MCA diberi keistimewaan begitu sekali oleh kerajaan negeri Perak sedangkan MCA hanya memenangi satu kerusi DUN sahaja. Saya percaya rakyat Perak mempertikaikan tindakan ini.
"Sewaktu Pakatan Rakyat memerintah Perak, Umno menjaja merata kampung kononnya Nizar boneka DAP, kuda tunggangan Cina, gadai tanah orang Melayu, abaikan Sekolah Agama Rakyat sebaliknya bantu sekolah Cina, bagi peruntukan kepada kuil, tokong dan gereja dan macam-macam lagi tohmahan dan fitnah," jelas Misbahul kepada Suara Keadilan.
Misbahul berkata tindakan ini memberi gambaran bahawa Menteri Besar 'Mahkamah', Datuk Seri Dr Zambry Kadir sebenarnya boneka kerana memenuhi tuntutan MCA.
Ini berbeza dengan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang tidak pernah memberi peruntukan kepada parti politik sekalipun PAS, apatah lagi DAP dan KEADILAN.
Katanya kerajaan negeri hanya memberi peruntukan RM200,000 setahun kepada wakil rakyat, manakala di setiap Dewan Undangan Negeri yang tidak diwakili oleh Pakatan Rakyat, kerajaan melantik penyelia DUN untuk menyalurkan peruntukan tersebut.
"Peruntukan tersebut tidak diberi secara tunai, namun ia disalurkan melalui permohonan projek kecil pembangunan di DUN masing-masing. Peruntukan tersebut digunakan bagi tujuan program kebajikan melalui wakil rakyat yang kemudiannya disalurkan kepada JKKK, persatuan belia, NGO, dan yang seumpamanya," kata beliau.
Jelas Misbahul pihak yang bertanggungjawab menyelaras dan memproses peruntukan ini ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Daerah dengan kelulusan Menteri Besar.
Walaupun peruntukan sebanyak itu disalurkan kepada ADUN, bukan bermakna beliau boleh sewenangnya menggunakan peruntukan tersebut untuk tujuan lain.
"Kalau MCA yang menang satu kerusi di Perak pun diberi peruntukan RM50,000 setiap bahagian, bagaimana pula dengan Umno yang memenangi banyak kerusi.
"MCA atau Umno merupakan parti dan bukannya jentera kerajaan. Tiada sebab munasabah bagi sebuah parti politik menerima peruntukan bagi tujuan pembangunan," kata beliau lagi.
"Cuba bayangkan kalau Nizar sebagai MB Perak dulu umumkan peruntukan kepada setiap Bahagian DAP sebanyak RM10,000, saya percaya setiap hari media milik Umno perdana akan jadikan isu utama akhbar, Umno dan wakil rakyat mereka sudah pasti akan gunakan isu ini untuk bangkitkan sentimen perkauman. Inilah sikap Umno-BN," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan