Rabu, 26 Mei 2010

Keningau :Usia bantah keras konsert Inul Daratista

KENINGAU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah atau Usia membantah keras konsert ‘raja gelek Indonesia – Inul’ di Keningau.

Naib Ketua pertubuhan itu, Mohd Zaki Laumin, memberitahu dalam satu temuramah;

“Konsert itu tidak sesuai sama sekali diadakan di sebuah bandar yang pembangunan agama Islam sedang diperkasakan.”

Katanya, gaya persembahan Inul Daratista boleh mempengaruhi akhlak golongan remaja.

“Perjuangan kita di sini adalah untuk memperkasakan akhlak generasi muda, dan kita tidak mahu pemikiran golongan ini terpesong dengan pengaruh hiburan yang seperti itu,” katanya.

Inul dijangka akan membuat persembahan di sini pada 28 Mei ini, melalui satu pakej hiburan panas yang dianjurkan oleh sebuah syarikat yang tidak dinamakan.

Zaki berkata, Usia memandang serius penganjuran konsert itu dan mendesak kerajaan supaya campur tangan.

“Kita bukan menentang pembangunan hiburan, tetapi kita perlu berhati-hati terhadap setiap bentuk hiburan yang dibawa ke bandar ini,” katanya dan mempersoalkan;

“Bagaimana permit konsert itu boleh diluluskan tanpa sebarang penapisan,”.

Di Bandar Tawau, konsert itu turut mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, apa yang mereka sifatkan nilai-nilainya bertentangan dengan agama Islam.

Malahan Zaki berkata, Inul sendiri seorang yang beragama Islam dan seharusnya tahu bahawa unsur-unsur persembahannya boleh mempengaruhi akhlak penonton.

Naib ketua itu yang menekankan, masyarakat Islam khususnya dan yang lain harus bersatu untuk menentang konsert itu.

“Apa yang sedang saya usahakan ini adalah untuk memberi perlindungan kepada masa depan generasi rakyat di sini,” tambahnya.

Sejak lebih seminggu di Keningau, bahang konsert Inul yang sinonim dengan gelaran ‘Raja Gelak Gerudi’ di sini rancak diperkatakan di kedai-kedai kopi, dan pasti mereka yang tidak sabar menanti adalah ribuan warga pendatang asing tanpa izin (PATI) di Keningau.

Tiada ulasan: