Oleh Sidiqin Omar
MASJID TANAH - Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta pihak polis memberi penjelasan berhubung insiden kematian Mohd Fairulizam Mohammad, 30, yang mati ditembak dalam satu kejadian di Paya Rumput, Melaka tahun lepas.
"Kami mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk datang sendiri melawat keluarga mangsa dan membantu bagi mendapatkan keadilan. Apatah lagi, kejadian ini berlaku di Masjid Tanah, iaitu kawasan parlimen yang beliau sendiri wakili.
"Kami menganggap pihak polis telah menyalahgunakan kuasa dan mengambil kesempatan dengan melakukan sesuatu di luar prosedur operasi. Kini, selepas hampir setahun, pihak polis masih belum memberikan sebarang jawapan kepada keluarga mangsa tentang kejadian yang berlaku," tegas Shamsul pada ceramah di markas PAS Jalan Hujan Panas, Masjud Tanah Sabtu lalu.
Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN turut berkata beliau kesal dengan insiden tersebut sambil meminta pihak ketiga yang bebas diwujudkan bagi menjalankan siasatan termasuk rentetan kes yang melibatkan kematian dalam operasi pihak polis.
Dalam kejadian yang berlaku pada Oktober 2009, mangsa yang merupakan pesakit mental disyaki terlibat dalam satu kejadian amuk telah diminta oleh pihak polis untuk menyerahkan diri.
Ketika serbuan dilakukan, mangsa dikatakan telah meloloskan diri dan membawa lari kenderaan peronda polis keluar dari perkarangan rumahnya. Polis telah mengejar suspek hingga ke jalan raya berdekatan.
Tidak lama selepas itu, bapa mangsa, Mohammad memaklumkan yang dia ada terdengar bunyi letupan yang kuat sebanyak tiga kali tidak jauh dari rumah mereka.
Beliau kemudiannya mengetahui kematian anaknya selepas beliau pergi ke Balai Polis Masjid Tanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan