Ismail Hashim |
SHAH ALAM: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) selamat disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dalam satu majlis gilang gemilang di Stadium Malawati, dekat sini malam tadi. Di dalam majlis itu, baginda bertitah peri pentingnya adat Melayu dan adab warisan bangsa dipertahankan dalam usaha meneruskan Selangor sebagai sebuah negeri yang mempunyai budaya sopan santun dan budi bahasa yang tinggi. Tegas baginda, adab menghormati ibu bapa, orang tua, jiran tetangga, ketua dan pemimpin selain berbudi bahasa serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan dan maruah orang lain wajar terus dihayati. Menyentuh tentang adab, baginda bertitah dewasa ini gejala kurang beradab berleluasa di kalangan masyarakat di negeri ini kononnya kerana masyarakat telah dilanda arus moden. "Sayangnya kurang beradab ini dilakukan oleh mereka yang berjawatan besar dan penting, berkelulusan tinggi dan professional, kurang beradab bukan sahaja dilakukan di tepi-tepi jalan tetapi juga di tempat mulia dan tinggi. “Padat yang dilancarkan malam ini bukan sahaja perlu memelihara adat dan warisan Melayu di Selangor tetapi turut menunjukkan betapa pentingnya adab dalam masyarakat berbilang kaum," titah baginda lagi. Sultan Sharafuddin Idris Shah mengharapkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor dapat menumpukan perhatian kepada penerokaan, pengkajian, persembahan dan penonjolan Adat Melayu dan Warisan Selangor yang keasliannya dapat dipertahankan melalui usaha penyelidikan. Baginda sedar adalah tidak mudah untuk menonjolkan intipati adat budaya yang bersusurgalurkan warisan negeri Selangor sepenuhnya. Justeru, Sultan Sharafuddin menyarankan Padat menjejaki dan mengenalpasti sumber-sumber Adat Budaya dan Warisan Selangor seterusnya melakukan penyelidikan saintifik ke atas penemuan-penemuan itu. Turut berucap di dalam berkenaan adalah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Selangor merangkap Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali. Rakyat mewakili semua daerah dari seluruh Negeri Selangor memenuhi ruang di stadium itu dengan kebanyakan berpakaian baju Melayu bersampin. Sebaik titah perasmian dilakukan, persembahan kebudayaan Melayu Selangor dijayakan dengan gabungan Artis Anak Negeri termasuk penyertaan ramai tokoh budaya terkenal. Antara mereka Prof Dr Siti Zainon Ismail, Dr Ibrahim Ghaffar, Abdul Ghafar Ibrahim, Ladin Nuawi, Bob Khalil dan ramai lagi melebihi 100 karyawan termasuk kanak-kanak dari Bingkas Kebayan yang memberikan kerjasama padu menjayakan majlis. |
Khamis, 6 Mei 2010
Jawatan besar, kelulusan tinggi tapi kurang adab
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan