Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (gambar) mendesak kerajaan memberi penjelasan mengapa meluluskan persembahan konsert Pitbull pada 15 Mei ini. “Bagaimanakah artis seperti Pitbull berjaya mendapat kelulusan untuk membuat persembahan sedangkan video clip dan lirik lagu beliau ternyata berbaur lucah dan membawa pengaruh seks rambang, budaya penagihan dadah sebagai rekerasi?” tanya beliau. Katanya, penjelasan itu perlu dibuat oleh pihak Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana Pitbull membawa unsur negatif kepada rakyat negara ini. “Bukankah kementerian harus mempertahankan kesejahteraan dan ketenteraman rakyat Malaysia supaya tidak didedahkan kepada elemen-elemen dan unsur–unsur negatif yang boleh memudaratkan rakyat Malaysia amnya?” katanya lagi. Merujuk kepada garis panduan, Jawatankuasa Puspal dipertanggungjawabkan untuk menimbang dan membuat keputusan ke atas permohonan penggambaran filem dan persembahan artis luar negara. Tambahnya, merujuk kepada Fakta 4.3 dan 4,4 dari garis panduan, keputusan sesuatu permohonan yang dibuat oleh Jawatankuasa Puspal adalah keputusan majoriti ahli mesyuarat yang mana korum bilangan minimum ahli mesyuarat tetap yang diperlukan untuk jawatankuasa itu boleh bersidang adalah lapan orang. Ini, katanya bermakna jawatankuasa seramai minimum lapan orang telah gagal membuat penilaian yang sewajarnya berkenaan kesesuaian artis seprti Pitbull itu. “Jika perkara ini dibenarkan, maka ianya telah menjadi satu ‘daya ukur’ atau telah menjadikannya satu precedent yang mana di masa-masa akan datang, mana-mana penganjur yang mempunyai artis yang hampir sama akan mendapat kelulusan,” katanya lagi. Tambahnya, juga satu perkara lain yang serius ialah kebenaran Puspal untuk membenarkan konsert berlangsung selama 12 jam tanpa henti dari 7 malam hingga ke 7 pagi hari berikutnya telah melanggar garis panduan durasi persembahan sesebuah konsert. Ini, katanya kerana seperti yang sedia termaktub, sesebuah persembahan konsert di tempat awam tidak boleh melebihi jam 12 malam dan jika mempunyai sebab-sebab tertentu mungkin dibenarkan sehingga 1 pagi. Begitu juga, ujarnya bagi sesebuah kelab hiburan dan disko, ianya dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 1 pagi ataupun 2 pagi. “Bukankah konsert 12 jam ini jelas melanggar beberapa syarat-syarat yang ditetapkan?” soalnya lagi. Menurutnya, ternyata melalui isu Pitbull itu menampakkan yang pihak kementerian tidak akur dengan wacana tersebut malah membuka ruang untuk budaya negatif menular ke masyarakat muda kita. Selepas dihebahkan berkenaan konsert Pitbull 12 jam itu yang akan berlangsung di kawasan persekitaran Genting Highlands, dikhabarkan ia akan berpindah lokasi ke Arena Tertutup Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Difahamkan bahawa kemungkinan pihak Pejabat Daerah Bentong tidak membenarkan acara tersebut diadakan. Justeru, kata Nasharudin, PAS berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil pendekatan sedemikian di atas dasar kemudaratan akhlak dan etika kepada masyarakat anak-anak muda pelbagai bilang bangsa dan agama di negara kita ini. “Kami yakin kebijaksanaan dan kewibawaan (DBKL) untuk tidak membenarkan Konsert 12 jam ini di mana-mana jua lokasi di Kuala Lumpur akan memelihara ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat muda ibu kota dan negara amnya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bachok. |
Khamis, 6 Mei 2010
PAS desak kerajaan jelaskan lulus konsert Pitbull
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan