Jumaat, 7 Mei 2010

Bentang kehilangan dua telaga minyak di Parlimen

Hashim Abdullah


TEMERLOH: PAS terus mendesak kerajaan supaya membentangkan laporan secara terperinci di Parlimen bagaimana negara boleh kehilangan dua blog telaga minyak kepada Brunei Darussalam yang secara jelas merugikan negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) yang ditemui selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pahang ke-22 di Darul Amin, Sungai Gau sebentar tadi mahukan kerajaan mendukung sikap telus kepada rakyat dan tidak menyembunyikan perkara besar yang ada kepentingan negara.

Isu negara kehilangan dua telaga minyak di blok L dan M milik Malaysia kepada Brunei menjadi hangat apabila ia dicetuskan Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhamad, baru-baru ini.

Tambah Tuan Ibrahim, isu kehilangan telaga minyak adalah perkara besar yang perlu diketahui rakyat apatah lagi ianya sudah menjadi perbincangan umum yang melibatkan maruah dan kedaulatan negara.

“Kerajaan tak boleh terus membisu dari persoalan besar yang ingin diketahui rakyat. Isu ini membabitkan maruah dan kepentingan negara. Tak boleh diam sahaja.

“Kita desak kerajaan bersikap jujur dan telus. Isu ini mesti diambil tanggungjawab sepenuhnya dan kerajaan kena bentangkan laporan penuh ke Parlimen, rakyat nak tahu,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut mengesa kabinet yang meluluskan pemberian dua blog telaga minyak itu meletakkan jawatan bagi memerlihara maruah dan integriti negara.

“Kabinet yang meluluskan pemberian dua blog telaga minyak itu patutnya meletakkan jawatan jika mereka bermaruah demi menjaga integriti negara,” katanya.

Tiada ulasan: